Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • BCL: Eternal Love Timeless Romance sentuh jiwa ribuan peminat
  • HIBURAN

BCL: Eternal Love Timeless Romance sentuh jiwa ribuan peminat

Utusan Sarawak 1 day ago
PENYANYI tersohor Indonesia Bunga Citra Lestari membawa penonton menyusuri perjalanan hidupnya yang penuh warna, termasuk kisah cinta abadi bersama arwah suaminya, pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keheningan malam Sabtu di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), seakan mengulangi magis dua tahun lepas apabila penyanyi tersohor dari Indonesia Bunga Citra Lestari, tampil di pentas yang sama, merangkul perasaan dan menyentuh jiwa ribuan peminatnya.

Ketika itu, dia menggalau peminatnya menerusi persembahan selama dua jam dengan 17 lagu hit, membawa penonton menyusuri perjalanan hidupnya yang penuh warna, termasuk kisah cinta abadi bersama arwah suaminya, pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair.

Namun, konsert kali ini, dia tampil lebih istimewa menerusi BCL: Eternal Love Timeless Romance, yang nyata bukan sekadar konsert membuai jiwa, akan tetapi menyuluh harapan baharu dalam kehidupan penyanyi berusia 42 tahun ini.

KEHENINGAN malam Sabtu di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), seakan mengulangi magis dua tahun lepas apabila penyanyi tersohor dari Indonesia Bunga Citra Lestari, tampil di pentas yang sama, merangkul perasaan dan menyentuh jiwa ribuan peminatnya. Foto BERNAMA

“Ashraf merupakan seorang pasangan, teman dan boleh juga kata partner in crime saya. We like to fight for each other but we also like to fight with each other. Selama 12 tahun we stayed with each other kita jalankan bersama. Bila saya harus hadapi kehilangannya it was really tough,” katanya dalam nada sebak.

Biarpun suasana dewan menjadi hening seketika sebaik beliau mendendangkan Wanita Terbahagia, lagu yang dedikasi buat Allahyarham suaminya yang meninggal dunia pada Februari 2020, wanita ini melakar makna bahawa kehilangan bukanlah pengakhiran sebaliknya cahaya untuk meneruskan perjalanan hidup.

Kehadiran kira-kira 2,000 peminat memenuhi dewan bukan hanya untuk menikmati alunan balada cinta dan penceritaan peribadi, malah turut menerima semangat baharu terutama bagi mereka yang pernah kecewa dalam hubungan untuk terus percaya pada cinta dan ketentuan Ilahi.

BUNGA Citra Lestari membuat kejutan istimewa apabila bergandingan dengan Yuna mendendangkan lagu hit mereka Watak Utama yang dilancarkan tahun lepas. Foto BERNAMA

Antara lagu dipersembahkan ialah Pernah Muda, Menghapus Jejakmu, Memilih Dia serta Kecewa yang diselang-selikan dengan naratif perjalanan hidupnya  yang kini membuka lembaran baharu bersama-sama suaminya Tiko Aryawardhana.

“Telah lama ku tutup pintu hatiku, lalu kau hadir menyapa duniaku, semua keraguanku yang tiada habisnya, perlahan sirna tersapu senyummu,” antara bait lagu Memulai Kembali yang cukup romantis sekali gus menukar emosi peminatnya kepada mood romantis.

Menyifatkan dirinya seorang insan bertuah, perkahwinannya dengan Tiko pada Disember 2023 tidak pernah menjauhkan beliau daripada keluarga arwah Ashraf bahkan mereka menjadi sumber kekuatan, membuatkannya begitu bersyukur kerana tidak pernah dipinggirkan tatkala melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Suami saya hari ini juga menerima keluarga arwah Ashraf. Sekarang saya sudah jadi anak kepada Ummi (ibu Ashraf) dan Tiko pula adalah menantu beliau,” kata penyanyi jelita Indonesia ini dengan lirikan senyuman penuh manis buat peminatnya malam itu. 

Kehangatan pentas semakin membara saat BCL membuat kejutan istimewa apabila bergandingan dengan Yuna mendendangkan lagu hit mereka Watak Utama yang dilancarkan tahun lepas.

“I have a surprise guest star, kebanggaan Malaysia, kecintaan Malaysia dan kecintaan saya kerana she is also my little sister. So, are you ready? Tepuk tangannya… Yuna!,” kata BCL sebelum memulakan nyanyian cukup lunak bersama-sama birasnya yang merupakan penyanyi kegilaan ramai di negara ini.

Mengotakan janjinya sebelum ini untuk menghadiahkan satu persembahan cukup istimewa malam itu, benar ia bukanlah sekadar konsert biasa kerana kali ini turut diisi dengan rancangan bual bicara apabila BCL menjemput dua peminatnya berkongsi pengalaman warna-warni percintaan mereka di atas pentas.

Tidak sekadar itu, BCL turut tampil berduet dengan penyanyi undangannya Jaclyn Victor melalui lagu Cinta, menyaksikan dua vokal hebat ini berpadu menggegarkan dewan selain turut bergabung suara dengan penyanyi muda dari Indonesia, Fajar Noor menerusi Aku dan Dirimu.

Melabuhkan tirai konsert penuh emosi dan harapan itu tepat pada 11.43 malam dengan dendangan lagu Badai Telah Berlalu, menyaksikan ribuan peminatnya berdiri serentak dengan memberikan tepukan paling gemuruh, seakan tidak mahu melepaskan detik magis yang begitu menyentuh jiwa.

Biarpun begitu, malam itu pastinya menjadi kenangan paling indah yang menggamit bukan sahaja buat BCL tetapi juga peminatnya akan suara yang merangkul jiwa, perjalanan hidup penuh emosi serta tekad bahawa harapan untuk terus berjuang tidak pernah ada titik noktah. – Bernama

Continue Reading

Previous: Lee Dong Gun derita penyakit jarang jumpa, penglihatan semakin terjejas
Next: Siti Nurhaliza raikan 3 dekad dalam seni dengan konsert Legacy 30

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.