
Tinjauan di stesen minyak di sekitar ibu kota dan beberapa negeri tengah malam tadi "agak meriah" berikutan peluasan inisiatif BUDI95. Foto Bernama.
KUALA LUMPUR: Seramai 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) tepat jam 12 tengah malam tadi, memberikan kelegaan kepada orang ramai terhadap perbelanjaan harian.
Inisiatif itu menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.
Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak di ibu negara mendapati ramai pengguna “setia” menunggu detik 12 tengah malam bagi menjadi antara yang terawal menerima manfaat berkenaan.

Petugas stesen minyak juga bersiap sedia membantu pengguna sekiranya menghadapi masalah transaksi.
BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 Sept bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad lalu.
Menurut Kementerian Kewangan, hampir 20 peratus daripada keseluruhan anggota ATM dan PDRM telah melakukan transaksi BUDI95 pada hari pertama pelaksanaannya, dengan jumlah pembelian RON95 bernilai RM3.7 juta direkodkan sehari selepas diperluas kepada penerima STR.
BUDI95 menawarkan kaedah transaksi mudah kerana hanya memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk pengesahan kelayakan secara automatik, manakala pembayaran boleh dibuat menggunakan aplikasi dompet digital pilihan.

Selain memberikan manfaat terus kepada rakyat, inisiatif itu dijangka menyumbang kepada keseimbangan fiskal negara dengan penjimatan subsidi yang boleh disalurkan semula kepada sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial.
Tinjauan di stesen minyak di sekitar ibu kota dan beberapa negeri tengah malam tadi “agak meriah” berikutan peluasan inisiatif BUDI95.
Mahu menjadi antara yang terawal menerima manfaat BUDI95 menyebabkan ada yang baru tamat kerja syif malam dan ada juga yang sengaja menunggu detik tengah malam di stesen minyak untuk menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati proses pengisian petrol dan pengesahan transaksi berjalan dengan lancar hasil kesungguhan petugas yang bersiap sedia sejak awal malam.
Pengguna yang ditemui ternyata berpuas hati kerana kaedahnya amat mudah, iaitu mereka hanya perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak dan bayar mengikut kaedah pilihan sama ada secara tunai, kad kredit atau debit, atau e-dompet.
Kemudahan itu benar-benar menyenangkan dan membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mesra rakyat.
Pengusaha stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini, Wan Muhammad Hafidz berkata, pihaknya sudah membuat persediaan lebih seminggu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan BUDI95 di premisnya.
Beliau berkata pekerja dilatih untuk memberikan bantuan sekiranya pengguna menghadapi kesulitan semasa melakukan transaksi.
“Persediaan dari segi sistem dan latihan pekerja telah berjalan sejak awal. Kami sebenarnya sudah bersedia sejak seminggu lepas untuk menghadapi hari yang ke-30 bulan ini,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Sementara itu, Safiyyah Affandi, 32, yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata proses pengisian petrol sangat mudah dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah.
Pendapat sama diakui Amirul Hakim, pengacara media sosial berusia 22 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor, yang berkata dia hanya mengambil masa kurang dua minit untuk mengisi minyak ke dalam kenderaannya.
“Sangat mudah, tak sampai dua minit sudah selesai,” katanya yang menetap di ibu negara. – Bernama.