
Amorim.Foto AFP
LONDON: Wayne Rooney berkata, Manchester United sudah kehilangan jiwa mereka dan beliau tidak mempunyai keyakinan terhadap kemampuan pengurus, Ruben Amorim yang sedang tertekan untuk mengubah keadaan.
Amorim hanya mengutip 34 mata daripada 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak mengambil alih pertengahan musim lalu, selepas kekalahan 1-3 kepada Brentford pada Sabtu lalu dan masih belum pernah mencatat kemenangan berturut-turut dalam liga utama.
United melalui musim liga paling buruk dalam tempoh 51 tahun musim lalu apabila menamatkan saingan di tangga ke-15 EPL dengan penuh keaiban.
Mereka berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas dengan membawa masuk Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko, tetapi kini terperosok di tangga ke-14 selepas kekalahan terbaru itu.
Rooney yang juga penjaring gol terbanyak sepanjang zaman United berkata, beliau pergi menonton perlawanan dengan jangkaan pasukan akan kalah.
“Saya sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku,” kata bekas penyerang berusia 39 tahun itu dalam podcast BBC miliknya.
“Saya pernah cuba mengurus pasukan dan ia tidak menjadi begitu baik, jadi saya faham. Ruben Amorim sebaya dengan saya, dia masih seorang pengurus muda dan saya pasti dia ada masa depan besar, tetapi apa yang berlaku di Man Utd, ini bukan Man Utd.
“Saya benar-benar berharap dia boleh ubah keadaan dan berjaya. Tetapi… selepas semua yang saya lihat, sejujurnya saya tidak ada keyakinan.”
Rooney yang pernah memenangi lima kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama United berkata, beliau sudah tidak mengenali kelab itu.
“Saya tidak nampak pemain berjuang, saya tidak nampak watak, saya tidak nampak keinginan untuk menang. Saya pergi ke stadium menonton dengan harapan pasukan akan kalah atau mungkin dapat satu mata.
“Jiwa kelab itu sudah hilang. Ia perlukan enjin baharu, semangat baharu. Ia perlukan sesuatu untuk menghidupkan semula kelab bola sepak itu.
“Apa yang berlaku ini bukan semata-mata salah pengurus. Pemain tidak layak memakai jersi itu dan ia menyakitkan.”
Bekas kapten United dan England itu berkata, budaya kelab yang pernah mendominasi bola sepak Inggeris selama dua dekad di bawah Alex Ferguson ‘sudah hilang’.
“Saya nampak ia setiap hari. Saya lihat kakitangan hilang pekerjaan, orang berhenti,” kata Rooney.
“Saya ada dua anak dalam akademi di kelab itu dan saya sangat berharap perkara ini tidak menjejaskan mereka. Apa yang saya lihat di kelab itu sekarang bukanlah Manchester United.” – AFP