Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Minggu Belia Sarawak 2025: Bintulu jadi tumpuan 5,000 belia 13-19 Oktober ini
  • TEMPATAN

Minggu Belia Sarawak 2025: Bintulu jadi tumpuan 5,000 belia 13-19 Oktober ini

Utusan Sarawak 3 days ago
JELASKAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Sambutan Minggu Belia di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

PETRA JAYA: Bandar Bintulu bakal menjadi tumpuan lebih 5,000 belia dari seluruh Sarawak apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran Minggu Belia Sarawak 2025 dari 13 hingga 19 Oktober ini, dengan pelbagai pengisian yang menekankan pembangunan bakat, sukan, rekreasi serta keusahawanan belia.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan tahunan itu merupakan platform penting bagi mengiktiraf peranan golongan belia dalam pembangunan negeri, selain menginspirasikan perubahan positif dalam komuniti setempat.

Menurutnya tema sambutan tahun ini, ‘Belia Aspirasi Kita’ membawa mesej bahawa golongan muda adalah generasi pewaris yang menjadi harapan negara, pendorong perubahan serta ejen inovasi yang akan meneruskan agenda kemajuan negeri seiring Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Belia Aspirasi Kita bukan sekadar slogan tetapi satu komitmen seluruh negara. Aspirasi rakyat untuk melihat negeri yang maju, makmur dan adil amat bergantung kepada peranan serta sumbangan belia,” katanya pada sidang media Sambutan Minggu Belia di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini.

JELASKAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Sambutan Minggu Belia di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang minggu berkenaan menerusi tiga komponen utama iaitu Youth Champion, Youth X-tive dan Youth Marketplace.

Antara tarikan yang disusun termasuk bengkel tinju Youth Combat bersama Sapok Biki dan Killat Boy, program Youth Care di Tatau, sesi kesedaran kesihatan mental Youth Therapy, pameran dan kempen kesedaran Youth Expo, selain Youth Got Talent serta Konsert Belia Sarawak pada 18 Oktober ini.

Bagi aktiviti sukan pula, sambutan kali ini menampilkan acara petanque, permainan warisan dan larian Youth Fest Run.

Tidak ketinggalan, penganjuran Youth Marketplace yang menghimpunkan 30 gerai usahawan muda dengan jualan makanan, minuman, pakaian, aksesori dan hasil pertanian dijangka merancakkan lagi ekonomi tempatan sepanjang tiga hari berlangsung.

Majlis kemuncak pada 19 Oktober di Dewan Suarah Bintulu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan kehadiran lebih 4,000 belia mewakili institusi pengajian tinggi awam, pertubuhan belia, pekerja sektor awam, swasta serta orang awam.

Kemuncak acara itu ialah penganugerahan Tokoh Belia Sarawak yang merangkumi kategori Belia Lelaki, Belia Wanita serta Persatuan Belia (Johan dan Naib Johan).

Penerima anugerah individu bakal membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM5,000, manakala kategori persatuan menawarkan hadiah RM10,000 bagi Johan dan RM7,000 bagi Naib Johan.

Selain penyampaian anugerah, penutupan sambutan turut diserikan dengan persembahan muzikal tari bertajuk ‘Belia Aspirasi Kita’ oleh belia dari Sibu.

Pentas turut dihangatkan oleh artis tempatan Sarawak termasuk Daniel Leong, Lucy M, Nurul Zahnesha, Alexander Peter, Tuah Jili dan JC Panganiban, manakala kumpulan terkenal dari Semenanjung, One Avenue Band dibawa khas untuk memeriahkan acara.

Abdul Karim menegaskan, penganjuran Minggu Belia Sarawak bukan sahaja mengiktiraf peranan belia sebagai agen perubahan, malah memberi limpahan manfaat kepada penduduk Bintulu melalui aktiviti keusahawanan dan peluang menjalin rangkaian sosial antara belia dari seluruh negeri.

“Saya mengalu-alukan orang ramai untuk hadir beramai-ramai ke Bintulu bagi memeriahkan sambutan ini kerana ia bukan sahaja meraikan golongan belia, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Festival Filem ASEAN 2025 raih penyertaan terbanyak sejak 2013
Next: Festival KATSN Artist 2025 serlahkan bakat komuniti istimewa di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.