
KOTA PADAWAN: Semangat gotong-royong dan kepedulian terhadap alam sekitar jelas terserlah apabila komuniti setempat berganding bahu menjayakan sambutan Hari Pahlawan Bumi di Taman Rekreasi Taman Kota Padawan Batu 11, di sini, semalam.
Sambutan ini diadakan bersempena28 September, yang diraikan setiap tahun sebagai hari simbolik gotong-royong sejagat.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai berkata penglibatan Badan Bukan Kerajaan (NGO), KRT dan JKKK yang mengamalkan konsep program angkat taman membantu pihak berkuasa tempatan memantau dan menjaga kemudahan awam.

“MPP mempunyai lebih 100 taman rekreasi, dan kita tidak mampu memantau semuanya secara dekat.
“Dengan konsep ‘anak angkat’ ini, komuniti menjadi mata dan telinga kami. Apabila ada kerosakan atau isu vandalisme, mereka segera maklumkan kepada kaunselor,” katanya ketika merasmikan program tersebut, semalam.
Dalam pada itu, Tan Kai menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja mengukuhkan rasa tanggungjawab bersama, malah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau menjelaskan, Hari Pahlawan Bumi menyokong SDG 3 yang menekankan gaya hidup sihat dan kesejahteraan melalui aktiviti riadah luar, SDG 11 yang memberi penekanan kepada komuniti mampan melalui penjagaan taman rekreasi, serta SDG 17 yang menuntut kerjasama pelbagai pihak demi kelestarian.
Pada masa sama, beliau menggalakkan lebih banyak NGO tampil untuk mengamalkan konsep ini dengan mengambil anak angkat taman lain serta menganjurkan aktiviti seumpama ini sebagai bentuk kolaborasi bersama MPP.


ANTARA 50 anak pokok yang ditanam sempena sambutan Hari Pahlawan Bumi. Foto Adele Rissa
Katanya, meskipun ada taman yang diangkat oleh NGO, MPP tetap melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan tidak hanya bergantung kepada pihak komuniti.
Kapitan KRT Countrywood dan Taman Kota Padawan Batu 11, Wilbert Kho, pula mengingatkan masyarakat agar tidak menunggu tarikh tertentu untuk menjaga alam sekitar.
“Hari ini hanya simbolik. Sebenarnya, setiap hari kita mesti mempraktikkan amalan menjaga bumi – jangan buang sampah merata-rata, jangan bakar, dan amalkan kitar semula.
“Jika tidak, pencemaran akan menghantui kita sendiri,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada MPP dan Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) yang menyumbangkan 50 anak pokok untuk ditanam.

Acara yang melibatkan aktiviti pembersihan kawasan, penanaman pokok dan kitar semula itu dianjurkan bersama Persatuan Klan Jong Kuching-Samarahan-Serian, Padawan Kuching Cultural Club, Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Countrywood dan Taman Kota Padawan Batu 11, JKKK Kampung Kuap Cina serta Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Penduduk setempat yang hadir melihat aktiviti ini bukan sekadar inisiatif kebersihan, tetapi juga peluang mengeratkan hubungan kejiranan. Ia turut diselitkan dengan mesej perubahan iklim yang semakin ketara.
Sambutan Hari Pahlawan Bumi di Taman Kota Padawan Batu 11 sekali lagi membuktikan bahawa sinergi erat antara komuniti dan kerajaan tempatan mampu membawa impak besar, bukan sahaja kepada kualiti hidup penduduk, malah memastikan kelestarian bumi untuk generasi akan datang.
Oleh Adele Rissa