

BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak 24 September lalu di kawasan Nanga Buai, Ulu Padeh terus menemui jalan buntu apabila masuk hari kelima pencarian masih belum membuahkan hasil.
Mangsa dikenali sebagai Rumai Jantin, 75 tahun, dilaporkan hilang di kawasan hutan berdekatan rumah panjang berkenaan.
Setakat ini, kawasan sekitar belakang rumah panjang dan sungai berdekatan yang pernah menjadi lokasi penemuan beberapa barangan milik mangsa telah diperiksa berulang kali namun masih belum membawa kepada penemuan mangsa.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi hari kelima dimulakan pada 8.15 pagi dengan penugasan semula pasukan SAR ke beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kritikal.


Namun, pencarian yang dijalankan setakat ini masih belum berjaya mengesan mangsa.
Operasi diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi, melibatkan lima anggota bomba, tujuh anggota polis, sepuluh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota RELA serta lebih 30 penduduk kampung yang turut membantu pencarian secara sukarela.
Walaupun usaha mencari terus dipergiatkan, kehilangan warga emas berkenaan masih menjadi tanda tanya dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga serta penduduk setempat.
Sehingga kini, operasi SAR masih diteruskan dan pihak berkuasa berharap sebarang petunjuk baharu dapat membantu merungkai misteri kehilangan Rumai Jantin.
Oleh Adi Safarman