

BINTULU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika mandi di anak sungai berhampiran Ladang Tatau Estate, Sungai Semanok, malam tadi.
Mangsa, dikenali sebagai Jeffery Masing Win, 21 tahun, dikatakan sedang mandi bersama abangnya sebelum diserang reptilia itu sekitar 8.27 malam.
Abangnya yang menyaksikan kejadian cuba menyelamatkan mangsa namun gagal apabila buaya berkenaan terus mengheret mangsa ke dalam sungai.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau menerima panggilan kecemasan pada 8.27 malam, dan sepasukan anggota tiba di lokasi kejadian sekitar 9.00 malam, kira-kira 37 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, PBK II TBK I Mumin Anda, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama bermula pagi ini seawal 7.55 pagi, menggunakan jentera utiliti Hilux dan bot aluminium.
“Setibanya di lokasi, Pos Kawalan Bomba (PKB) didirikan di kawasan rumah mangsa bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.



Operasi pencarian bermula sekitar 10.28 pagi dan dibahagikan kepada dua sektor, iaitu sektor air dan darat.
Sektor air melibatkan penggunaan aset marin ALB Bomba 01 dan bot milik APM yang melakukan pencarian sejauh satu kilometer dari muara Sungai Sedupai ke arah hilir.
Sementara itu, sektor darat melibatkan pencarian secara berjalan kaki di sekitar anak Sungai Sedupai dalam radius satu kilometer, dengan bantuan seramai 16 orang awam.
Operasi SAR turut disertai oleh enam anggota PDRM, lima anggota APM, tiga wakil Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) serta penduduk kampung.
“Pencarian diteruskan sehingga 5.00 petang, meliputi radius sejauh lima kilometer dari muara sungai, namun mangsa masih belum ditemui,” katanya lagi.
Operasi SAR ditangguhkan pada petang tadi atas nasihat Polis Tatau dan akan disambung semula esok bermula 8.00 pagi.
Oleh Adum Liu