
MIRI: Usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat terus mendapat sambutan menggalakkan apabila Hari Aerobik Sarawak, iaitu acara aerobik berunsur kebajikan yang dinanti-nantikan di bandar raya ini, mencatatkan peningkatan penyertaan saban tahun.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, acara seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan fizikal, malah turut mengukuhkan perpaduan, persahabatan dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.


“Program hari ini bukan sekadar untuk kita bersenam atau menggerakkan badan.
“Ia juga tentang membina perpaduan, mengeratkan persahabatan dan mengingatkan kita bahawa kesihatan adalah aset paling berharga dalam kehidupan.
“Lebih membanggakan, saya dimaklumkan bahawa penyertaan di Miri meningkat daripada lebih 400 orang pada 2023, kepada 600 pada 2024 dan tahun ini mencecah lebih 700 peserta.


“Ini menunjukkan masyarakat Miri tidak pernah ketinggalan menyertai program komuniti sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program tersebut yang berlangsung di sini hari ini.
Kim Shin turut menegaskan kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh inisiatif yang menggalakkan gaya hidup sihat kerana masyarakat yang sihat adalah asas kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang kukuh.
Katanya, melalui aktiviti aerobik, masyarakat bukan sahaja dapat meningkatkan kecergasan fizikal, malah menjaga kesihatan mental yang sama penting dalam mendepani cabaran harian.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, sukarelawan serta semua yang terlibat menjayakan program tersebut.
“Komitmen anda mencerminkan matlamat bersama kita untuk membina masyarakat yang lebih sihat, bersatu padu dan bertenaga.
“Semoga semangat yang ditunjukkan hari ini menjadi permulaan untuk kita terus mengamalkan gaya hidup sihat setiap hari, khususnya warga Miri,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling