
SIBU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengaji semula keputusan mengenakan denda RM100,000 terhadap dua organisasi media tempatan, Sin Chew Daily dan Sinar Harian.
Gesaan itu disuarakan Setiausaha Publisiti dan Maklumat Pusat SUPP, Wong Ching Yong, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampau dan tidak seimbang, memandangkan kedua-dua media telah mengemukakan permohonan maaf serta mengambil tindakan dalaman susulan kesilapan masing-masing.
Pada 19 September lalu, SKMM mengenakan denda terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad kerana menyiarkan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap, manakala Sinar Karangkraf Sdn Bhd dikenakan tindakan kerana menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan Ketua Polis Negara di platform media sosial.
“Walaupun organisasi media harus bertanggungjawab membetulkan kesilapan, penguatkuasaan kali ini kelihatan tidak seimbang dan boleh menjejaskan kebebasan media di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wong yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, berkata denda sebanyak RM100,000 itu boleh memberi kesan besar kepada kewangan dan reputasi syarikat media, selain menimbulkan kesan ‘membungkam’ terhadap para wartawan dan kebebasan bersuara.
Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan mengenakan penalti itu telah dirujuk kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil atau Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, memandangkan Pakatan Harapan sebelum ini pernah berjanji untuk menegakkan kebebasan media sejak 2018.
“Sekarang PH kembali berkuasa, adakah mereka masih ingat janji tersebut?” soalnya.
Wong menegaskan bahawa Jalur Gemilang sememangnya simbol kedaulatan negara yang wajar dihormati, namun insiden yang berlaku berpunca daripada kelalaian atau masalah teknikal, bukannya disengajakan atau berniat jahat.
Beliau juga mendakwa tindakan SKMM menunjukkan unsur dwi standard, apabila kesilapan serupa melibatkan agensi kerajaan atau parti politik tidak dikenakan tindakan yang setara.
Menurut Wong, Majlis Media Malaysia yang diiktiraf kerajaan sebagai badan berkecuali sepatutnya menjadi saluran rujukan atau perundingan dalam kes melibatkan media.
“Namun jelas tiada perbincangan dibuat. Malah, Majlis Media sendiri mengkritik tindakan SKMM,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar Menteri Fahmi Fadzil dan Timbalannya Teo Nie Ching memberi penjelasan kepada rakyat berhubung keputusan kontroversi ini.
Oleh Tarani Lanting