Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Satu pertiga kerusi Parlimen untuk tiga wilayah adalah satu jaminan – Abdul Karim
  • TEMPATAN

Satu pertiga kerusi Parlimen untuk tiga wilayah adalah satu jaminan – Abdul Karim

Utusan Sarawak 10 hours ago
JELASKAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Perlawanan Kriket Siri Wanita Super Malaysia YSD ke-3 di Padang Kriket Borneo, di Kuching, hari ini.

PETRA JAYA: Kenyataan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak pernah menetapkan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak hanyalah pandangan peribadi seorang peguam.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pandangan tersebut tidak boleh dijadikan rujukan tunggal kerana asas pembentukan Malaysia adalah hasil rundingan panjang serta persetujuan yang melibatkan hak dan perlindungan untuk wilayah Borneo.

“Kalau letak 10 peguam dalam satu bilik, kita akan dapat 10 pandangan berbeza. Azhar seorang peguam dan bekas Speaker, tetapi beliau bukan pensyarah atau profesor undang-undang yang mengkaji secara mendalam mengenai pembentukan negara.

“Saya juga seorang peguam dan saya ada pandangan sendiri dan saya juga ada penyelidikan yang mendalam berkaitan perkara ini, namun, kajian saya itu perlu disokong oleh para penyelidik, profesor serta pensyarah undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perlawanan Kriket Siri Wanita Super Malaysia YSD ke-3 di Padang Kriket Borneo, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, semasa Malaysia dibentuk pada 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Persekutuan kerana terdapat jaminan tertentu bagi melindungi kedudukan mereka.

“Dari awal, kerusi Parlimen diagih dua pertiga kepada Malaya dan satu pertiga kepada tiga wilayah lain, iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura. Kenapa satu pertiga? Sebab pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga.

“Itulah jaminan yang ada untuk memastikan hak wilayah ini tidak mudah dipinda sesuka hati oleh majoriti Malaya,” jelasnya.

Beliau menambah, selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, 15 kerusi milik republik itu diberikan kepada Malaya sehingga mengubah imbangan asal.

“Sejak itu Malaya menguasai lebih dua pertiga kerusi dan berupaya meluluskan pindaan yang boleh menjejaskan hak Sabah dan Sarawak seperti imigresen, sumber asli, sungai dan laut.

“Itulah sebabnya kita sentiasa menuntut agar nisbah satu pertiga – dua pertiga ini dipulihkan kerana ia bukan sekadar angka, tetapi asas utama pembentukan Malaysia,” tegasnya.

Justeru, katanya, tafsiran mengenai MA63 tidak boleh hanya bergantung kepada teks Perlembagaan, sebaliknya turut merangkumi konvensyen serta minit mesyuarat yang dirakam semasa rundingan pembentukan negara.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Lebih 100 hadiri Majlis Doa Hari Malaysia 2025 di Gereja Anglikan St John, Sibu
Next: Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2025 dijangka tarik 15,000 pengunjung ke Limbang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.