
Nuno, 51, yang dipecat Nottingham Forest awal musim ini. Foto AFP
LONDON: West Ham United melantik Nuno Espirito Santo sebagai pengurus baharu hanya beberapa jam selepas memecat Graham Potter, hari ini.
Nuno, 51, yang dipecat Nottingham Forest awal musim ini, menandatangani kontrak tiga tahun bersama The Hammers dan bakal mengendalikan aksi pertamanya menentang Everton awal pagi Selasa ini.
Pemecatan Potter sudah dijangka selepas West Ham jatuh ke tangga kedua tercorot Liga Perdana Inggeris, hanya sembilan bulan selepas dia dilantik.
“Saya amat berbangga dapat mewakili West Ham United. Matlamat saya adalah bekerja keras untuk mendapatkan yang terbaik daripada pasukan serta memastikan kami kembali kompetitif,” kata Nuno.
Bekas pengendali Tottenham Hotspur dan Wolves itu dipecat pemilik Forest, Evangelos Marinakis, tiga minggu lalu selepas berlaku perselisihan mengenai dasar perpindahan kelab.
Namun, dia sebelum itu dipuji kerana membawa Forest ke pentas Eropah buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun selepas menamatkan saingan liga di tempat ketujuh musim lalu.
Nuno turut mencipta nama bersama Wolves apabila berjaya mengekalkan kelab itu sebagai pasukan mapan Liga Perdana sebelum mengharungi tempoh singkat yang bergolak di Spurs.
Sementara itu, Potter hanya meraih tiga mata daripada lima perlawanan liga musim ini selain tersingkir awal dalam saingan Piala Liga kepada Wolves.
Kekalahan 0-1 kepada Crystal Palace minggu lalu menjadi titik penamat khidmatnya di Stadium London.
“Keputusan dan prestasi sejak separuh kedua musim lalu hingga awal musim ini tidak menepati jangkaan. Lembaga pengarah merasakan perubahan perlu dibuat segera bagi memperbaiki kedudukan pasukan,” menurut kenyataan rasmi West Ham.
Potter hanya menang enam daripada 25 perlawanan sejak menggantikan Julen Lopetegui pada Januari lalu, biarpun sudah berbelanja besar dengan lapan pemain baharu dibawa masuk musim panas ini. – AFP