
BAU: Sarawak Delta Geopark yang dalam proses pendaftaran UNESCO Global Geopark akan dilengkapkan oleh Pekan Siniawan, sekali gus mengangkat semula pekan yang pernah sunyi hampir 30 tahun dahulu kepada pusat pembangunan dan tarikan baharu.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, syarat-syarat yang ditetapkan UNESCO telah dipenuhi, sekali gus membolehkan Sarawak melepasi tapisan pertama proses pewartaan.
“Siniawan mempunyai keunikan budaya, sejarah, landskap muka bumi serta tarikan global seperti Festival Muzik Country Siniawan (SCMF) yang menjadi penganjuran muzik ‘country’ terbesar di Asia.
“Pengiktirafan UNESCO akan menjadikan Siniawan sebahagian daripada laluan geopark antarabangsa yang saling berhubung antara satu sama lain.
“Dengan kedudukan sebagai sebahagian daripada geopark global, kawasan ini berpotensi besar menarik pelancong dan meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Waterfront Siniawan, hari ini.
Tambahnya, melalui AirBorneo kelak, Sarawak dapat menghubungkan Sarawak Delta Geopark dengan rangkaian geopark dunia, antaranya Pulau Jeju di Korea Selatan.
Pada masa sama, projek menaik taraf Jalan Bau-Kuching kepada empat lorong sehingga ke Sematan akan dilaksanakan untuk memperbaiki jaringan perhubungan ke Siniawan.
“Apabila infrastrukturnya dinaiktaraf, lebih mudah orang luar datang ke Siniawan,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Serembu, Miro Simuh berkata Siniawan mula bangkit pada 2009 apabila JKKK membuka pasar malam yang selepas 15 tahun kini menjadi simbol ikonik pekan tersebut. Usaha itu diperkukuh dengan pembangunan infrastruktur seperti Waterfront Siniawan serta acara besar termasuk SCMF.
“GKCDA memperuntukkan RM28 juta untuk projek parkir bertingkat lengkap dengan pentas di aras bumbung berkapasiti 3,000 hingga 5,000 orang sebagai tapak penganjuran acara besar.
“Projek Taman Perindustrian Pemprosesan Makanan Serembu di Paku akan dibangunkan dengan dana RM40 juta daripada GKCDA bagi mengeluarkan makanan manusia dan haiwan selain menggalakkan pelaburan untuk menurunkan kos makanan ternakan,” katanya.

Antara inisiatif lain ialah kelulusan dana RM30 juta untuk Rumah Penyembelihan Khinzir, RM15 juta untuk Projek Ladang Lembu Bersepadu di Kampung Seromah dan Kandis, serta RM10 juta bagi projek pelancongan dan penaiktarafan Jalan Lama Bau-Kuching.
Dengan pelbagai inisiatif ini, Siniawan kini dilihat bukan sahaja bakal menjadi sebahagian laluan geopark dunia, malah muncul sebagai pekan strategik yang berpotensi besar dari segi pelancongan, budaya dan ekonomi.
Oleh Amanda L