

SAR wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Nanga Buai, Ulu Padeh, di sini masih buntu walaupun masuk hari keempat pencarian hari ini. Foto: PGO Bomba Sarawak
BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Nanga Buai, Ulu Padeh, di sini masih buntu walaupun masuk hari keempat pencarian hari ini.
Mangsa, Rumai Anak Jantin, 75, dilaporkan tidak pulang ke rumah panjang selepas keluar ke kawasan hutan berhampiran pada 24 September lalu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR pagi ini bermula pada 8.30 pagi dengan tumpuan diberikan di sekitar anak Sungai Tebelian dan kawasan rumah panjang dalam radius tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan l, Jusmandie Jamaie bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menggunakan sebuah pacuan empat roda jenis Hilux.
Turut membantu dalam operasi ini ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain penduduk tempatan.


“Setakat ini usaha pencarian masih diteruskan namun mangsa belum ditemui.
“Pencarian difokuskan di laluan yang dipercayai digunakan mangsa serta kawasan berisiko berhampiran anak sungai,” katanya dalam satu kenyataan.
JBPM Sarawak menegaskan operasi akan diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemui, dengan kerjasama semua agensi penyelamat serta penduduk tempatan.
Mangsa, seorang wanita warga emas, dilaporkan memakai pakaian harian biasa ketika keluar dari rumah panjang sebelum disedari hilang oleh ahli keluarga.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kelibat mangsa diminta menghubungi pihak berkuasa dengan segera bagi membantu usaha pencarian.
Oleh Adi Safarman