

KUTIP… Dato Sri Lee Kim Shin turut serta mengutip sampah di Pantai Marina pada Kempen Sifar Sampah bersempena Hari Cuci Malaysia dan Hari Pembersihan Dunia 2025 di Miri hari ini.
MIRI: Kerajaan Sarawak kekal komited membangunkan ekonomi hijau yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar serta keterangkuman sosial, kata Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, merasmikan Kempen Sifar Sampah bersempena Hari Cuci Malaysia dan Hari Pembersihan Dunia 2025 di sini hari ini.
Menurut Kim Shin, kempen itu bukan sahaja bertujuan membersihkan pantai, jalan raya, dan ruang awam, tetapi lebih penting meneguhkan komitmen bersama terhadap kelestarian alam sekitar.
“Gerakan ini mencerminkan keselarasan Malaysia dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam kesihatan, komuniti mampan, tindakan iklim dan kerjasama global,” katanya.
Kim Shin menegaskan bahawa persekitaran yang bersih dan sihat mampu menyokong komuniti lebih sejahtera, memperkukuh ekonomi, serta meningkatkan kualiti hidup.
“Bandar bebas sampah juga lebih selamat, sesuai didiami dan berdaya tahan menghadapi risiko iklim seperti banjir serta penyakit bawaan pencemaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) kerana menerajui kempen dengan penuh dedikasi dan visi.
Katanya, inisiatif itu menjadi contoh terbaik bagaimana tindakan di peringkat tempatan mampu memberi kesan global selain memperlihatkan kepentingan penglibatan masyarakat.
“Aset terbesar kita adalah kesedaran awam dan tanggungjawab sivik. Masa depan bergantung kepada bagaimana kita memperkasakan generasi muda untuk menjadi juara alam sekitar melalui pendidikan, kesukarelawanan, dan inovasi,” jelasnya.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah haram, meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur kitar semula, serta mempromosi amalan ekonomi kitaran.
Selain itu, katanya, cabaran perubahan iklim seperti kenaikan paras laut, banjir, kemarau, peningkatan suhu dan kehilangan biodiversiti perlu ditangani dengan serius, bermula dengan usaha memastikan kebersihan persekitaran.
“Janganlah kita anggap hari ini sekadar satu lagi hari gotong-royong.
“Sebaliknya, lihatlah ia sebagai pelancaran sebuah gerakan, di mana setiap seorang daripada kita bertanggungjawab menjaga tanah, air dan udara yang kita kongsi bersama,” katanya lagi.
Majlis pelancaran itu turut disertai wakil komuniti, pertubuhan belia, pelajar, serta badan masyarakat sivil setempat sebagai tanda sokongan terhadap kempen sifar sampah.
Oleh Liong Chai Ling