
KUCHING: Lebih 500 penduduk, pelajar, penjaja dan sukarelawan berganding bahu membersihkan kawasan bandar raya Kuching Selatan hari ini sempena sambutan Hari Cuci Malaysia 2025, selari dengan Hari Pembersihan Sedunia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian memuji semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh komuniti dalam menjaga kebersihan persekitaran, sambil menyifatkannya sebagai contoh amalan sivik yang wajar diteruskan dan dicontohi.
“Penglibatan masyarakat adalah tulang belakang kelestarian alam sekitar. Sebuah Sarawak yang lebih bersih dan sihat bermula daripada tanggungjawab setiap individu terhadap persekitaran mereka,” katanya ketika berucap di tapak program anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa MBKS dan pihak berkuasa tempatan lain di Sarawak agar merangka inisiatif inovatif dan berimpak tinggi yang melangkaui program pembersihan, sebaliknya membudayakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.
“Penjagaan alam sekitar memerlukan komitmen jangka panjang dan pendekatan kreatif.
“Saya menggalakkan semua pihak berkuasa tempatan terus melibatkan komuniti serta sekolah bagi membina Sarawak yang lebih bersih dan hijau untuk generasi akan datang, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” ujarnya.
Sambutan kali ini melibatkan pelbagai pihak, termasuk penduduk Kampung Lumba Kuda dan Jalan Mendu, anggota Kem Bentara TUDM, pelajar dan guru dari lima buah sekolah sekitar bandar raya, penjaja Medan Niaga Jubilee Ground, penghuni Flat KMC, serta warga kerja MBKS.
Kawasan yang diberi tumpuan antaranya Kampung Lumba Kuda, Jalan Mendu, Jalan Padungan, Jalan Petanak, Jalan Blacksmith, Jalan Central Timur serta Jalan Abg Abdul Rahim.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini menetapkan Sabtu terakhir September sebagai Hari Cuci Malaysia, bagi menggalakkan rakyat menyertai aktiviti gotong-royong di seluruh negara, termasuk membersihkan kawasan awam, menutup tapak pembuangan sampah haram, menggalakkan amalan kitar semula serta mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Tahun ini, inisiatif tersebut turut menyasarkan pencapaian baharu dalam Malaysia Book of Records dengan penglibatan seramai 100,000 peserta di seluruh negara.
Oleh Adele Rissa