
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk melaksanakan larangan vape di peringkat negeri atau nasional hanya akan mengundang pertumbuhan pasaran gelap, menjejaskan keyakinan pelabur serta melemahkan ekonomi negara, tegas Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE).
Badan pemikir dasar yang berpangkalan di Malaysia itu memberi amaran bahawa langkah berorientasikan pengharaman turut berisiko mengurangkan hasil cukai kerajaan serta menghapuskan peluang pekerjaan.
Amaran tersebut hadir selepas laporan terbaharu Malaysian Vapers Alliance (MVA) mendedahkan majoriti pengguna menolak cadangan larangan.
Hasil tinjauan mendapati 74 peratus responden bimbang larangan akan melonjakkan jualan haram, manakala 80 peratus khuatir terhadap penggunaan produk tidak selamat serta tidak dikawal selia.

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar menegaskan pengharaman tidak pernah terbukti berkesan, sama ada terhadap alkohol, tembakau mahupun vape.
“Apa yang berlaku hanyalah menggalakkan pasaran haram dengan mewujudkan ruang ketidakpatuhan. Situasi ini akhirnya menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit hasil cukai, mengecilkan perniagaan sah, dan memusnahkan peluang pekerjaan.
“Kuncinya terletak pada penguatkuasaan undang-undang, bukannya mengharamkan produk yang dibanjiri barangan tiruan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, industri vape Malaysia pernah dinilai bernilai RM3.48 bilion dan menyediakan lebih 31,500 pekerjaan, namun penyusutan drastik berlaku selepas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan.
Data Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah jenama berdaftar merosot daripada 3,200 kepada hanya 390 dalam tempoh kurang setahun.
DARE berpandangan Akta 852 sudah menyediakan kerangka kawal selia nasional dengan perlindungan ketat terhadap golongan bawah umur.
Oleh itu, langkah paling rasional dari segi ekonomi ialah memastikan penguatkuasaan konsisten akta berkenaan, bukannya larangan.
“Larangan hanya akan memperbesar kebocoran ini. Apa yang diperlukan ialah kepastian kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang,” tambah Pankaj.