
KOTA SAMARAHAN: Kuih takir, yang juga dikenali sebagai kuih perahu merupakan salah satu kuih tradisional yang begitu terkenal di Sarawak.
Bentuknya yang unik seperti perahu dan cita rasa yang manis, kuih ini membawa kekayaan budaya Sarawak dalam setiap suapan.
Menurut Rahana Tambi, 43, atau lebih dikenali sebagai Ena Ulik, kuih takir memiliki rasa yang sangat khas dan membezakan ia daripada kuih tradisional lain.
“Kuih takir ini lebih ‘Sarawak’, dengan rasa santan yang lemak, aroma daun nipah yang harum, serta gula apong yang digunakan.
“Gula apong yang asli dari Sarawak memberikan rasa yang lebih sedap dan unik,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, di sini, hari ini.

Kuih takir bukan hanya sekadar manis, tetapi juga mengandungi elemen-elemen tradisional yang begitu dihargai oleh penduduk Sarawak.
Walaupun rasanya yang sedap, membuat kuih takir bukanlah tugas yang mudah dimana tradisi pembungkusan kuih takir memerlukan ketelitian dan masa yang lama.
“Zaman dulu, orang guna acuan perahu, jadi senang nak bentuknya. Ikut bentuk daun nipah yang memanjang.
“Proses pembuatan kuih takir, yang melibatkan pembungkusan dengan daun nipah atau daun pisang, memerlukan lebih daripada sekadar kebolehan memasak.
“Untuk seratus biji kuih, biasanya ambil masa antara tiga hingga empat jam untuk siap sepenuhnya,” jelasnya lagi.

Namun, Ena juga berkongsi cabaran dalam mencari daun nipah terutamanya ketika hujan atau air pasang.
“Kalau air tinggi, memang bahaya hendak keluar ambil daun nipah. Lagi susah apabila hujan, sebab air boleh merosakkan daun yang hendak digunakan.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu menjadikan pengumpulan daun nipah untuk membungkus kuih takir satu cabaran yang sukar,” tambahnya.
Ini menunjukkan betapa rumitnya proses pembuatan kuih takir yang memerlukan kesabaran dan ketelitian.
Waktu yang lama itu bukan hanya pada pembuatan kuih itu sendiri tetapi juga dalam proses membalut kuih menggunakan daun nipah yang memerlukan ketepatan agar bentuk kuih tersebut terjaga.
Walaupun zaman telah berubah dan cara pembuatan kuih takir mungkin telah sedikit berbeza, namun tradisi ini masih dipertahankan hingga ke hari ini.
Bagi mereka yang ingin menikmati kuih takir, rasanya pasti membawa nostalgia dan menghargai keunikan kuih tradisional Sarawak.
Seiring dengan waktu, kuih takir terus menghidupkan keunikan budaya di Sarawak melalui setiap gigitan yang manis dan memuaskan.
Oleh Masrin Affirah