





FOTO edaran dari Tentera Darat Filipina yang diambil pada 25 September 2025 dan diterima pada 26 September 2025 menunjukkan anggota tentera yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat semasa laluan Taufan Tropika Berat Bualoi di Guiuan, Eastern Samar. Filipina telah memindahkan beratus ribu penduduk dan mengesahkan sekurang-kurangnya tiga kematian pada 26 September ketika taufan tropika berat melanda negara yang masih merasai kesan Taufan Super Ragasa. Foto AFP
MANILA: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh selepas ribut tropika Bualoi membadai Filipina pada Khamis, menurut Pejabat Pertahanan Awam (OCD) pada Jumaat.
Pengarah wilayah OCD di Bicol, Claudio Yucot berkata dalam sidang media bahawa pihaknya sedang mengesahkan laporan berhubung kematian, lapor Xinhua.
Sementara itu, pengarah wilayah OCD di Eastern Visayas, Lord Byron Torrecarion melaporkan lima nelayan dari wilayah Eastern Samar masih hilang selepas turun ke laut pada Selasa lalu dan masih belum pulang sehingga Khamis.
Biro cuaca negara, PAGASA pada Jumaat memaklumkan bahawa Bualoi kini berada di kawasan tengah Filipina dan bergerak ke arah barat pada kelajuan 35 kilometer sejam (km/j) dengan kelajuan angin maksimum 110 km/j serta tiupan kencang mencecah 135 km/j.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) turut melaporkan bahawa sebanyak 14 kematian berlaku akibat kejadian monsun barat daya serta tiga taufan berturut-turut termasuk Ragasa dan Bualoi yang melanda Filipina sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Agensi itu turut memaklumkan sekitar 303,537 keluarga atau 1,212,712 orang terjejas di seluruh negara.
Bualoi dijangka meninggalkan Filipina menjelang petang Sabtu.- Bernama-Xinhua