PERANAN universiti adalah untuk membina dan berkongsi ilmu. Justeru membina ilmu itu perlu dilakukan melalui kerja-kerja penyelidikan, manakala perkongsian ilmu disebarkan melalui pelbagai medium seperti di dalam bilik kuliah, seminar dan penerbitan dan sebagainya.
Bagi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), selaras dengan visinya ‘berdedikasi untuk menjadi sebuah pusat pengajian yang unggul dalam memacu dan menyediakan asas untuk perkembangan intelek, sahsiah dan kemahiran kendiri setiap pelajar’ terus komited memainkan peranan tersebut bukan sahaja kepada komuniti akademik dan pelajar malah kepada seluruh masyarakat.
Menurut Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim, perjalanan transformasi lima tahun UNIMAS dalam Pelan Strategik 2016 hingga 2020 telah membawa universiti itu jauh ke hadapan.
“Pelan ini akan akan berakhir pada tahun ini, namun pelbagai pencapaian pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah berjaya diperolehi UNIMAS.
“Antara yang membanggakan adalah pencapaian pelaksanaan transformasi universiti dan kejayaan di peringkat antarabangsa terutamanya dari Times Higher Education World University Rankings dan QS World University Rankings.
“Sebagai sebuah universiti awam berstatus komprehensif, pengiktirafan seperti ini adalah penting dalam mengukuhkan jenama UNIMAS di persada antarabangsa sebagai sebuah universiti pilihan di Malaysia dan Borneo.
“Namun begitu, UNIMAS juga tidak terkecuali daripada menerima kesan cabaran pasca pandemik Covid-19 terutamanya yang berkaitan dengan kelestarian kewangan, pengurusan sumber dan juga budaya kerja,”
Kadim berkata demikian dalam amanatnya pada program Borneo Leadership Talk Series di UNIMAS, Kota Samarahan, baru-baru ini.
Ujarnya, pada masa kini, landskap sektor pendidikan pengajian tinggi di seluruh dunia sedang mengalami proses adaptasi norma baharu dan dalam konteks UNIMAS, kepimpinan strategik bertunjangkan nilai-nilai teras universiti yang telah dibangunkan sejak penubuhan universiti di Sarawak adalah penyumbang kepada kelestarian kecemerlangan mereka di arena antarabangsa.
“Antara pencapaian lain adalah, baru-baru ini Times Higher Education World University Ranking telah meletakkan UNIMAS pada tangga ke-351 terbaik dunia dalam kategori Young University Rankings.
“Kategori ini hanya disertai oleh universiti yang berusia 50 tahun ke bawah dan dinilai melalui indikator pengajaran, penyelidikan, pemindahan teknologi atau ilmu dan juga pandangan antarabangsa.
“Selain itu, UNIMAS turut disenaraikan di tempat ke-201 terbaik dunia menerusi Times Higher Education University Impact Rankings apabila kesemua 17 sasaran pembangunan mampan (SDG) telah digunakan sebagai inidikator bagi mengukur pencapaian sesebuah universiti,” jelasnya.
Tambahnya, UNIMAS turut ditempatkan dalam kalangan 401 universiti terbaik Asia menerusi Times Higher Education Asian University Rankings.
“Lebih membanggakan kita, UNIMAS juga merupakan satu-satunya universiti di Asia Tenggara yang disenarai pendek dalam tiga kategori Times Higher Education Awards Asia 2020 iaitu bagi kategori Excellence and Innovation in the Arts, International Strategy of the Year dan Workplace of the Year,” katanya.
Kadim turut mendedahkan bahawa UNIMAS sedang dalam usaha untuk menghasilkan Pelan Strategik baru bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang akan memberi penekanan kepada pembangunan bakat yang melibatkan kakitangan akademik, pentadbiran dan sokongan di univerisiti tersebut.
“Bakat merupakan penentu utama kejayaan sesebuah universiti dan bertindak sebagai strategi atau sistem yang direkabentuk untuk meningkatkan produktiviti kerja.
“Sesebuah universiti yang lestari atau mampan dalam pelbagai aspek memerlukan bakat yang berdaya saing dalam pelbagai peringkat.
“Pengurusan bakat yang baik memudahkan pelan strategik universiti digerakkan di pelbagai peringkat organisasi demi mencapai visi universiti dalam era persaingan global,” tambahnya.
Kadim berkata, UNIMAS juga sedang merangka beberapa program kemahiran baharu bagi dipelajari oleh pelajar universiti sebagai persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan selepas bergraduasi melalui Pusat Pembangunan Pelajar (PPP).
Jelasnya, antara program tersebut adalah kemahiran pengurusan pejabat dan kemahiran perisian, di mana UNIMAS akan meneruskan usaha menyediakan program kemahiran baru ini untuk para pelajar dalam usaha menyediakan mereka menghadapi alam pekerjaan apabila keluar dari universiti nanti.