
BINTULU: Simposium Kajian Tindakan dan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) STEM Bersepadu 2.0 Peringkat Daerah Bintulu 2025 menjadi platform penting dalam memperkasa budaya inovasi, kreativiti serta amalan pengajaran berteraskan Revolusi Industri 4.0.
Simposium anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dengan kerjasama Sektor Pembelajaran itu turut memperkukuh jaringan profesionalisme guru, selain mendorong pendekatan pembelajaran berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menjadi asas daya saing global.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, tema simposium kali ini, ‘Kelestarian Kecemerlangan Pendidikan dalam STEM dan TVET’, amat bertepatan dengan cabaran dunia semasa yang bersifat tidak stabil, tidak pasti, kompleks dan kabur (VUCA).

Menurut beliau, sistem pendidikan masa kini perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan menekankan pembelajaran yang lebih interaktif, fleksibel serta berpaksikan teknologi digital.
“Pendidikan secara konvensional tidak lagi memadai untuk melengkapkan murid dengan kemahiran masa hadapan.
“Pendekatan seperti PBL dan STEM perlu diterapkan secara menyeluruh, manakala Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula berperanan memperkukuh kemahiran praktikal murid.


“Pertandingan seperti ini mampu melahirkan generasi yang berdaya saing, berfikiran kritis, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan simposium itu di sebuah kompleks beli-belah, di sini, hari ini.
Johnny Pang turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang Pertandingan Kajian Tindakan dan PBL STEM Bersepadu 2.0, menyifatkan kejayaan mereka sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigih, kreativiti dan komitmen dalam mendokong inovasi pendidikan.
Oleh Carolyne Utih