
SIBU: Seorang jejaka Iban dari Batang Ai, Adriel Nyawai Robin, tampil dengan usaha gigih memartabatkan seni tenunan Sungkit, warisan berharga masyarakat Iban yang kini berdepan cabaran kelestarian.
Adriel, 34, berasal dari Rumah Panjang Puso, Krangan Mong, Lubok Antu, bekerja di sebuah syarikat pelantar minyak dan gas namun minatnya terhadap tenunan Sungkit mula berputik sejak usia pertengahan 20-an.
“Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi? Seni dan warisan Sungkit ini adalah identiti masyarakat Batang Ai yang wajib dipelihara,” katanya.
Menurutnya, keunikan Sungkit terserlah menerusi motif tradisional yang sarat dengan makna budaya, termasuk yang diilhamkan daripada mimpi penenun terdahulu serta alam sekitar.

Beliau menjelaskan proses penghasilan Sungkit lebih rumit berbanding teknik tenunan lain kerana memerlukan pemilihan warna, corak dan pengiraan motif yang teliti sebelum benang dipakan.
Buat masa ini, Adriel lebih cenderung menghasilkan motif tumbuhan kerana menurut tradisi hanya penenun berstatus tinggi dibenarkan menenun motif bernyawa seperti haiwan atau manusia.
Walaupun hasil tenunannya masih dijadikan koleksi peribadi, beliau melihat permintaan terhadap Sungkit Batang Ai di pasaran semakin menggalakkan termasuk daripada penggemar tekstil tradisional antarabangsa.
“Facebook, Instagram dan TikTok adalah medium terbaik untuk memperkenalkan keindahan Sungkit kepada khalayak lebih luas,” katanya sambil berharap kerajaan dan badan bukan kerajaan dapat memperluas program pameran serta menyediakan bantuan pemasaran digital.
Adriel berkata cabaran utama ialah kurangnya minat generasi muda dan kekurangan tenaga pengajar berpengalaman namun beliau percaya teknologi mampu menjadi pemangkin untuk menarik perhatian generasi baharu.
Katanya, antara langkah yang boleh diambil ialah promosi aktif melalui media sosial, dokumentari budaya, penganjuran kursus serta pameran demonstrasi selain bantuan subsidi bahan mentah bagi mengurangkan kos penghasilan.
Beliau berharap lebih ramai generasi muda tampil mempelajari seni tenunan Sungkit selagi masih ada tenaga pengajar dalam kalangan generasi tua di rumah panjang.
“Seni dan kraftangan kita adalah identiti kita. Jika tidak dipelihara sekarang, ia akan hilang ditelan zaman,” katanya.
Oleh Tarani Lanting