
SURABAYA: Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter melanda wilayah Jawa Timur di Indonesia pada Khamis, mengakibatkan sekurang-kurangnya 74 rumah dan enam kemudahan awam rosak serta mencederakan seorang penduduk, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).
“Gegaran kuat dirasai di Banyuwangi dan Situbondo, malah turut sampai ke Jembrana di wilayah Bali,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata agensi bencana tempatan sedang menilai tahap kerosakan sepenuhnya dan setakat ini tiada laporan mengenai kematian atau penduduk yang dipindahkan akibat kejadian itu.
Situbondo merekodkan kerosakan paling teruk dengan 60 rumah rosak bersama sebuah masjid, dua pejabat kerajaan dan sebuah premis perniagaan.
Di Banyuwangi, sembilan rumah dan sebuah masjid turut terjejas.


SEORANG penduduk Desa Sumberwaru, Kecamatan Banyuputih, Situbondo, Jawa Timur, membersihkan serpihan bangunan akibat gempa bumi. Foto ANTARA
Di kawasan lain di Jawa Timur, tiga rumah rosak di Bondowoso, manakala sebuah rumah musnah dan seorang cedera ringan di Jember.
Sementara itu, di daerah Jembrana, Bali, sebuah rumah dan sebuah pusat kesihatan turut mengalami kerosakan kecil, kata Abdul Muhari.
Gempa yang berlaku pada 4.04 petang waktu tempatan itu berpusat di luar pesisir, 46 kilometer timur laut Banyuwangi dan 54 kilometer tenggara Situbondo, pada kedalaman 12 kilometer.
Menurut BNPB, gegaran kuat dirasai selama dua hingga tiga saat di Banyuwangi dan Situbondo, menyebabkan ramai penduduk panik dan bergegas keluar rumah.
Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktiviti tektonik dengan kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi sering terjadi. – Bernama