
BETONG: Polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar berseorangan dari rumahnya di Kampung Nanga Buai, Padeh, Betong sejak Selasa lalu.
Mangsa dikenali sebagai Rumai Jantin, 74 tahun, berbangsa Iban, yang difahamkan keluar sekitar 6.15 petang tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga sebelum gagal pulang ke rumah sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong berkata, laporan kehilangan itu dibuat pada semalam selepas keluarga bimbang apabila mangsa masih tidak pulang walaupun sudah malam.
“Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan termasuk dengan bantuan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), namun sehingga kini beliau masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, polis memohon kerjasama masyarakat setempat khususnya di kawasan Ulu Padeh dan sekitar Betong untuk menyalurkan maklumat sekiranya ternampak atau menemui mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Sarjan Ambia Jali di talian 014-8963327, Balai Polis Betong di 083-472345, atau melaporkan segera ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama orang ramai amatlah dihargai dalam usaha membantu pihak berkuasa menjejaki warga emas ini,” tambah beliau.
Oleh Adi Safarman