

TURUN PADANG…. Chieng ketika memeriksa pili bomba yang baharu dipasang di Jalan Tong Sang, hari ini. Turut kelihatan ialah Andy.
SIBU: Sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) N.51 Bukit Assek bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf pili bomba di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dalam tempoh dua tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, daripada jumlah itu, RM200,000 diperuntukan pada 2023 dan RM100,000 lagi pada 2024 bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan pili bomba di kawasan terbabit.
Menurutnya, projek itu dilaksanakan oleh Sarawak Water Sdn Bhd (wilayah tengah) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu.

“Bagi fasa pertama yang telah siap, sebanyak 28 unit pili bomba melibatkan dengan kos kira-kira RM31,350.
“Daripada jumlah itu, 16 unit pili bomba lama diganti, dua injap suis 100 mm dipasang, tujuh unit pili bomba yang hilang atau dicuri digantikan, manakala dua unit baharu dipasang,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa pili bomba yang baharu dipasang di Jalan Tong Sang, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, untuk fasa kedua kerja-kerja dinaik taraf mengikut enam zon yang dikenal pasti oleh JBPM Sibu, meliputi kawasan sekolah, jalan utama, pusat bandar dan kawasan pembangunan baharu.
“Zon A (SMK Methodist) 13 unit dibaik pulih, tiga daripadanya telah siap, Zon B (Jalan Tong Hua, Jalan Hua Kiew, Jalan Tong Sang) 22 unit dinaik taraf dan lima unit baharu dipasang dan Zon C: 13 unit dinaik taraf dan lima unit baharu dipasang.
“Bagi Zon D: 10 unit dinaik taraf, Zon E (pusat bandar) 13 unit dibaik pulih atau dinaik taraf manakala Zon F (Bukit Penyau-kawasan pembangunan baharu) masih dalam perancangan.
“Secara keseluruhan, sebanyak 71 unit akan dinaik taraf atau dibaik pulih, manakala 10 unit baharu akan dipasang,” jelasnya.
Chieng menegaskan, meskipun penyelenggaraan pili bomba adalah bidang kuasa Persekutuan, langkah tersebut tetap penting memandangkan kawasan itu masih mempunyai banyak rumah kayu lama yang berisiko tinggi terbakar terutama pada musim kemarau.
“Masalah yang dikenal pasti termasuk pili bomba tenggelam, paip bocor, komponen dicuri, malah ada yang hilang sepenuhnya. Sebab itu pemeriksaan, penggantian dan pemasangan baharu sangat penting untuk keselamatan penduduk,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendaftar sebagai ‘Rakan Pili Bomba’ bersama JBPM Sibu.
“Jika ada pili bomba di hadapan rumah, kilang atau premis, mereka boleh mendaftar untuk menjaganya. Sekiranya berlaku kerosakan, laporan segera boleh dibuat kepada JBPM Sibu untuk tindakan segera,” kata beliau.
Tambahnya, kerjasama komuniti amat penting kerana ketersediaan dan fungsi pili bomba adalah keperluan asas bagi keselamatan masyarakat di Bukit Assek.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas Sarawak Water Sdn Bhd (wilayah tengah) atas usaha menjalankan tinjauan selama beberapa bulan bagi mengenal pasti dan menyemak semula lokasi pili bomba yang rosak.
“Inilah masa terbaik untuk kita melakukan tinjauan menyeluruh di kawasan Bukit Assek agar dapat membina semula keyakinan rakyat terhadap ketersediaan pili bomba.
“Selalunya rakyat beranggapan bahawa pili bomba tidak berfungsi langsung sehingga menimbulkan rasa tidak yakin, walaupun ada pili bomba di sekeliling mereka,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, kerjasama erat bersama Sarawak Water Sdn Bhd, JBPM dan pemimpin tempatan diharap dapat mengembalikan keyakinan penduduk supaya anggota bomba dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan, khususnya ketika berdepan kebakaran.
Turut hadir Ketua JBPM Zon Sibu, Andy Alie, Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Komuniti Lanang, Sibu, Daniel Ing dan wakil Residen Sibu Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu, Khairunnisa Sabawi.
Oleh Akun Giman