

KANG tetap positif berdepan dugaan.
LOS ANGELES: Penyanyi popular Korea Selatan, Kang Daniel, berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa rompakan di California, Amerika Syarikat, pada Isnin lalu.
Menurut Kang Daniel, semua kelengkapan konsert termasuk kostum, rambut palsu, alat solek, dan barangan cenderamata telah dicuri sejurus selepas beliau selesai membuat persembahan di Los Angeles.
“Semua barang kami telah dicuri. Mereka ambil semuanya… kostum, rambut palsu, alat solek, termasuk barangan cenderamata,” katanya.
Difahamkan kejadian berlaku apabila kenderaan staf pasukan produksi dipecah masuk oleh perompak selepas konsert tamat.
Akibat insiden tersebut, pasukan Kang Daniel terpaksa mendapatkan kelengkapan baharu di kawasan sekitar sebelum bertolak ke lokasi konsert seterusnya.
Meskipun berdepan insiden mengejutkan itu, Kang Daniel kekal positif dan meneruskan konsert seperti yang telah dijadualkan.
Ketika ini, beliau sedang menjayakan konsert jelajah di 12 lokasi di seluruh Amerika Syarikat, sebelum meneruskan siri persembahan ke Mexico. – Agensi