KUCHING: Sehingga Julai 2020, status kemajuan terkini projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak adalah 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2022 iaitu setahun lanjutan selepas Rakan Pelaksana Projek (PDP) ditamatkan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Perikatan Nasional tetap menghormati keputusan kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan) untuk mengubah kaedah pelaksanaan projek lebuh raya itu yang pada awalnya dijangka penamatan PDP memberi penjimatan kepada kerajaan.
“Seperti diumumkan oleh mantan Menteri Kewangan, jumlah penjimatan RM3.1 bilion manakala yang diumumkan oleh mantan Menteri Kerja Raya ialah RM1.2 bilion, jadi saya tak pasti angka yang lebih sesuai digunakan dan saya tak pasti juga Menteri Kewangan terdahulu menggunakan fakta yang mana.
“Walaubagaimanapun pelaksanaan tersebut tidak mengambil kira perkara berikut yang sedang ditangani oleh kerajaan iaitu yang pertama kesan ke atas pentadbiran projek dan perubahan kontrak, kedua, keperluan penambahbaikan kapasiti dan kepakaran teknikal sedia ada dan ketiga, penjimatan hanya dapat dimuktamadkan apabila projek ini siap nanti.
“Apabila ia tamat, barulah kita dapat tahu kos sebenar walaupun secara dasar ada penjimatan jumlah, namun saya kira tidak dapat dinyatakan dengan jelas tetapi sudah pasti banyak perkara yang kita lihat dan penjimatan sebenar tidaklah seperti apa yang diumumkan oleh kedua-dua mantan menteri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mengenai jumlah penjimatan oleh kerajaan dengan penamatan PDP pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.
Menjawab pertanyaan tambahan mengenai kesan penularan Covid-19 ke atas projek tersebut, Fadillah berkata pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pasti menjejaskan keseluruhan projek kerajaan bukan sahaja Pan Borneo tapi keseluruhan projek kerajaan.
“Tetapi secara keseluruhannya kita sudah memberi perlanjutan tempoh secara automatik selama tiga bulan kepada semua projek kerajaan yang lain.
“Tetapi, projek Pan Borneo ini kita akan mengadakan pendekatan khusus dan juga projek kerajaan lain bagaimana mencari kaedah supaya ia dapat dipercepatkan dan dapat disiapkan mengikut tempoh tanpa kos tambahan,” jelasnya.
Oleh Zarina Abdullah