Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sami Hyypia berkongsi rutin yang menjadikannya legenda Liverpool
  • SUKAN

Sami Hyypia berkongsi rutin yang menjadikannya legenda Liverpool

Utusan Sarawak 4 days ago
LEGENDA Liverpool FC Sami Hyypia.

KUALA LUMPUR: Ada yang menganggapnya mengarut, namun legenda Liverpool FC Sami Hyypia lebih gemar menyifatkan persiapan praperlawanan ketika zaman kegemilangannya, sebagai ‘satu rutin’.

Amalan itu juga sememangnya lazim dalam kalangan pemain bola sepak terhebat dunia termasuk ikon Liverpool masa ini, Mohamed Salah, atau lebih dikenali sebagai Mo Salah, yang sentiasa memastikan beliau merupakan pemain terakhir melangkah masuk ke padang bersama dengan pasukannya semasa perlawanan.

Justeru, amat menarik apabila Hyypia, 52, yang menjadi benteng pertahanan hebat Liverpool dari 1999 hingga 2009, berkongsi rutin praperlawanannya dalam sesi dialog eksklusif pada majlis makan malam Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) di sini semalam.

Hyypia menegaskan bahawa perkara utama mengenai rutin atau dianggap sebagai amalan karut itu sebenarnya membantu meningkatkan kepercayaan diri, ketenangan dan keyakinan sebelum turun beraksi di padang.

Jadi, apakah rutin beliau ketika itu?

“Saya akan makan jenis makanan yang sama sebelum setiap perlawanan. Saya juga akan sentiasa meletakkan pad pelindung kaki dan stoking mengikut urutan yang sama.

“Langkah ini ialah rutin, bukan kepercayaan karut, tetapi memberi saya fokus,” kata bekas pemain Finland itu yang kini merupakan duta Reds.

Apa-apa sahaja yang diamalkan beliau ternyata berhasil apabila berjaya memenangi lapan kejuaraan utama dengan Reds – satu Liga Juara-Juara UEFA (2005), satu Piala UEFA (2001), dua Piala FA (2001, 2006), dua Piala Liga (2001, 2003), dan dua Piala Super UEFA (2001 dan 2005).

Bukan itu sahaja, Hyypia turut memenangi Perisai Komuniti FA sebanyak dua kali pada 2001 dan 2006, selain dilantik sebagai kapten pada musim 2000-2001 apabila skuad itu berjaya mencapai Treble – Piala FA, Piala Liga, dan Piala UEFA.

Secara keseluruhan, beliau membuat 464 penampilan bersama dengan Liverpool dan menjaringkan 35 gol – pencapaian besar bagi seorang pemain tengah – sebelum meninggalkan Anfield, gelanggang keramat Liverpool FC, pada 2009 untuk menyertai kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen FC sehingga bersara sebagai pemain pada 2011 ketika berusia 37 tahun.

Daripada semua pencapaian itu, beliau menyifatkan “Keajaiban Istanbul” pada final Liga-Liga Juara 2005 menentang gergasi Itali, AC Milan, sebagai detik terbaik sepanjang kerjayanya.

Pada malam itu di Turkiye, Liverpool bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama untuk menyamakan kedudukan 3-3 selepas masa penuh dan masa tambahan, sebelum menewaskan Milan 3-2 menerusi sepakan penalti untuk menjulang trofi buat kali kelima. (Liverpool kini meraih enam kejuaraan Liga Juara-Juara).

“Malam itu mengajar saya bahawa walaupun anda tidak percaya, jika anda berusaha, keajaiban boleh terjadi,” katanya pada sesi selama 30 minit itu, yang turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Mak Joon Nien.

Hyypia, yang telah mewakili Finland sebanyak 105 kali, turut berseloroh bahawa beliau sering berasa tertekan menjelang perlawanan besar sehingga kerap ke bilik air sebelum beraksi, sekali gus membuktikan bahawa legenda sekalipun tidak terkecuali daripada rasa gementar praperlawanan.

Majlis eksklusif pada Forum Anjakan Hijau ASEAN itu berlangsung bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di sini.

Forum itu ialah anjuran bersama ASEAN-BAC Malaysia dan Standard Chartered, dengan sokongan daripada rakan kerjasama Yinson Holdings Bhd serta Persatuan Pasaran Karbon Malaysia.

Liverpool menjalin kerjasama dengan Standard Chartered selama empat tahun, mengekalkan firma perkhidmatan kewangan berkenaan sebagai penaja jersi juara Liga Perdana Inggeris itu hingga 2027.

-BERNAMA

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Sarawak terbuka jadi pusat latihan atlet serantau
Next: Eze sumbat gol sulung bersama Arsenal, mara ke pusingan keempat Piala Liga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.