
LONDON: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri semikonduktor dan teknologi hijau melalui pelancaran dua teknologi baharu serta pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik antarabangsa.
Majlis yang berlangsung di ExCeL London itu menyaksikan pelancaran teknologi terkini oleh SMD Semiconductor, iaitu keteq.GaN, peranti kuasa berasaskan Gallium Nitride (GaN) serta keteq.ai penukar kuasa yang didorong kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyempurnakan pelancaran berkenaan dan turut menyaksikan pertukaran dua MoU antara SMD Semiconductor dengan rakan strategik antarabangsa.

MoU pertama membabitkan kerjasama dengan Camutronics, XFAB Dresden dan CSA Catapult UK bagi pembangunan teknologi GaN HEMT.
Sementara itu, MoU kedua melibatkan Sarawak Energy Berhad, 5G3i dan CSA Catapult untuk pembangunan keteq.ai penukar kuasa yang kini sedang dalam proses pendaftaran hak cipta antarabangsa.
Menurut Abang Johari, pelancaran ini menandakan satu tahap kepakaran baharu dalam bidang semikonduktor, khususnya dengan pengenalan peranti kuasa Gallium Nitride yang berupaya menahan suhu tinggi
“Hari ini kita menyaksikan satu lagi tahap kepakaran dalam bidang semikonduktor bersama rakan kerjasama, iaitu teknologi keteq.GaN menggunakan Gallium Nitride.
“Ia mampu menahan haba, sekali gus membolehkan data dan maklumat disimpan dalam wafer dengan penggunaan tenaga berkuasa tinggi.
“Ini bermakna kita mempunyai kaedah baharu penyimpanan data serta penyelesaian kepada keperluan data. Ini merupakan tahap yang sangat kompetitif dalam industri semikonduktor,” katanya dalam majlis tersebut di sini hari ini waktu tempatan.
Beliau turut menekankan kepentingan inovasi serta kerjasama rentas sempadan bagi memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekosistem global.
“Yang lebih penting adalah kita terus berkolaborasi untuk mencipta teknologi baharu. Teknologi baharu ini akan meningkatkan kecekapan pengeluaran dan melahirkan produk inovatif.
“Saya amat berbesar hati kerana kejayaan ini terhasil daripada pelbagai pihak termasuk pakar, pembekal, serta SMD dari Sarawak yang bergabung dalam satu ekosistem.
“Rangkaian kerjasama global ini akan membuka jalan kepada pembangunan teknologi baharu, mengurangkan pelepasan karbon, serta membina persekitaran kerja yang mesra alam,” ujarnya.
Pelancaran ini membuktikan bahawa Sarawak bukan sekadar peserta dalam rantaian nilai semikonduktor global, tetapi kini muncul sebagai peneraju dalam inovasi teknologi dan ekonomi hijau, selari dengan aspirasi negeri untuk menjadi hab semikonduktor berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Dato Ibrahim Baki serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil serta Ketua Pegawai Eksekutif CSA Catapult, Raj Gawera. -UKAS