Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sarawak terbuka jadi pusat latihan atlet serantau
  • SUKAN

Sarawak terbuka jadi pusat latihan atlet serantau

Utusan Sarawak 4 days ago
JELASKAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada majlis perasmian Temasya Sukan Borneo 2025 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching hari ini. 

PETRA JAYA: Sarawak bersedia membuka fasiliti sukan bertaraf antarabangsa miliknya sebagai pusat latihan kepada atlet-atlet dari seluruh rantau Borneo dan serantau, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, kompleks sukan di Petra Jaya bakal menjadi nadi pembangunan sukan negeri apabila lebih separuh acara Sukan SEA 2027 akan berlangsung di sini, sekali gus melonjakkan status Sarawak sebagai hab sukan serantau.

“Daripada sekarang sehingga ke 2027, banyak kemudahan baharu akan dibangunkan dalam kompleks ini. Kita mahu Sarawak menjadi kuasa besar sukan dalam Malaysia,” katanya selepas merasmikan Temasya Sukan Borneo Kuching 2025 di Stadium Perpaduan, di sini, hari ini.

Antara projek baharu termasuk sebuah velodrom dan kemudahan lapangan menembak bertaraf kebangsaan, selain menaik taraf kemudahan sedia ada seperti pusat akuatik dan arena sukan dalaman.

Abdul Karim menegaskan fasiliti yang dibangunkan bukan sahaja untuk atlet tempatan, tetapi turut boleh dimanfaatkan oleh atlet dari Brunei, Sabah, Labuan serta provinsi-provinsi Kalimantan bagi tujuan latihan bersama.

MERIAH… Sekitar majlis perasmian Temasya Sukan Borneo Kuching 2025 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching hari ini. 

“Sekiranya rakan-rakan kita di Borneo berhasrat menjalankan persediaan, mereka boleh menghantar atlet ke Kuching untuk menggunakan kemudahan ini,” ujarnya.

Sambil menekankan penganjuran Sukan Borneo 2025 selepas 12 tahun terhenti lebih kepada menghidupkan kembali semangat kebersamaan berbanding mengejar pingat, Abdul Karim berkata temasya itu juga menjadi wadah diplomasi sukan dan mengeratkan persahabatan serantau.

Beliau tidak menolak kemungkinan acara itu pada masa depan diperluaskan kepada wilayah lain termasuk Australia Utara dan Mindanao, sekali gus meningkatkan daya saing atlet tempatan.

“Dalam sukan tidak ada politik. Lebih ramai penyertaan, lebih baik untuk atlet. Ia akan menaikkan lagi tahap pencapaian mereka,” katanya.

Selain lima acara teras iaitu sepak takraw, renang, badminton, memanah dan olahraga, temasya kali ini turut menampilkan acara tradisional seperti menyumpit dan tarik tali sebagai simbol warisan budaya masyarakat Borneo.

Abdul Karim menambah, penganjuran Sukan Borneo juga menyokong agenda pelancongan sukan Sarawak dengan menjana limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat melalui kehadiran ribuan atlet, pegawai dan penyokong.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Sukan SEA 2027: Sekurang-kurangnya 16 acara diadakan di Sarawak
Next: Sami Hyypia berkongsi rutin yang menjadikannya legenda Liverpool

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.