BINTULU: Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi yang akan dibina di Kidurong di sini memberi manfaat untuk membantu penduduk mendapatkan rumah sendiri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini sekali gus dapat menangani isu perumahan di Bintulu.
“Harga rumah yang tinggi di Bintulu khususnya yang dikendalikan oleh pemaju swasta adalah faktor menyebabkan ramai tidak dapat membeli rumah,” katanya menyempurnakan upacara pecah tanah Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi di Jalan Kidurong di sini semalam.
Menurutnya, dengan usaha sama kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bersama pemaju akan membolehkan rumah tersebut dijual pada harga berpatutan.
“Bagi membantu golongan muda khususnya pembelian rumah pertama, maka skim perumahan ini diperkenalkan bagi membolehkan golongan sasar memiliki kediaman sendiri yang lebih besar dan selesa,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan memperkenalkan skim pinjaman perumahan baharu iaitu Skim Pinjaman Perumahan Mutiara sebagai pendekatan terbaik membantu golongan berpendapatan rendah.
“Melalui inisiatif yang diperkenalkan ini, pembeli rumah boleh memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman perumahan daripada 15 ke 25 tahun yang kadar bayaran bulanan adalah amat rendah dan tidak membebankan pembeli,” jelasnya.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi dan ADUN Murum Kennedy Chuk Pai Ugon.
Oleh Ellie Edward