
Vinicius Junior meraikan jaringan bersama rakan. Foto AFP
VALENCIA: Real Madrid mengekalkan rekod sempurna dalam saingan La Liga selepas membelasah Levante 4-1, awal pagi tadi.
Kylian Mbappe menjadi wira apabila meledak dua gol sekali gus mengumpul tujuh jaringan liga daripada enam perlawanan, memastikan pasukan bimbingan Xabi Alonso kekal di puncak carta dengan rekod tanpa kalah.
Vinicius Junior membuka tirai jaringan pada minit ke-28 dengan penyudah menarik sebelum pemain muda Argentina berusia 18 tahun, Franco Mastantuono menambah gol kedua hasil hantaran Vinicius.
Ia juga adalah gol pertama Mastantuono sejak berhijrah dari River Plate pada musim panas lalu.
Levante sempat merapatkan jurang pada babak kedua menerusi Karl Etta Eyong yang menanduk masuk bola muntah selepas hantaran silang Ivan Romero terkena pemain lawan.
Namun, kebangkitan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Mbappe menambah derita Levante dengan menyempurnakan penalti pada minit ke-66 selepas dijatuhkan dalam kotak penalti.
Dua minit kemudian, penyerang Perancis itu bijak melepasi kawalan pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Mathew Ryan untuk gol keduanya dalam perlawanan itu.
“Kami beraksi sangat baik sejak awal, gol pertama memberi keyakinan untuk mengawal permainan. Vini juga menunjukkan aksi lengkap, saya gembira untuknya,” kata Alonso.
Sejak tewas dalam perebutan Ballon d’Or musim lalu, Vinicius bergelut dengan konsistensi namun persembahan cemerlang di Valencia dilihat sebagai kebangkitan semula bintang Brazil itu.
Mbappe yang sebelum ini sukar menyesuaikan diri selepas berpindah dari Paris Saint-Germain pada 2024 kini menemui sentuhan sebenar, dengan sembilan gol dalam tujuh perlawanan semua kejohanan musim ini.
“Kami masih perlu perbaiki beberapa perkara, tapi pasukan berada di landasan tepat.
“Kami sedang membina asas kukuh dan semua memainkan peranan penting,” jelas Alonso yang bakal mengemudi Real dalam aksi derbi Madrid menentang Atletico hujung minggu ini. – AFP