Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Wanita tonggak pembangunan Sarawak, jangan tertinggal dalam arus PCDS 2030
  • TEMPATAN

Wanita tonggak pembangunan Sarawak, jangan tertinggal dalam arus PCDS 2030

Utusan Sarawak 5 days ago
DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Centexs dan Biro Wanita Saberkas di Kuching, semalam.

KUCHING: ‘Separuh daripada populasi Sarawak adalah wanita. Maka wanita tidak boleh ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.’

Demikian tegas Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Centexs dan Biro Wanita Saberkas di sini, semalam.

Menurut beliau, wanita Sarawak perlu merebut peluang untuk meningkatkan kemahiran, memperkukuh kapasiti diri serta bergiat aktif dalam kegiatan sosial dan ekonomi sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“PCDS 2030 berteraskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar. Jika kita mahu Sarawak maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, wanita mesti berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Hasidah menambah, peranan wanita kini tidak hanya tertumpu dalam rumah tangga, malah harus diperluaskan kepada bidang kemahiran, keusahawanan, kepimpinan komuniti dan pembangunan modal insan.

“Kita mahu lebih ramai wanita di bandar mahupun luar bandar diberikan latihan dan peluang. Kita percaya wanita boleh menyumbang kepada kejayaan negeri, apatah lagi dengan jumlah mereka yang ramai,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Hasidah turut menyentuh mengenai kejayaan Sarawak merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu RM14.2 bilion pada tahun lalu.

Hasil negeri itu, jelasnya, telah diterjemah kepada pembangunan pendidikan, latihan dan institusi bertaraf antarabangsa demi kesejahteraan rakyat.

“Ini hasil kepimpinan yang berfokus. Dengan pendapatan yang tinggi, kerajaan mampu menyalurkan dana sehingga ke akar umbi untuk memastikan anak-anak kita diberi peluang latihan, kemahiran dan pendidikan bertaraf global. Inilah asas kita menuju negeri maju dan berpendapatan tinggi,” jelasnya lagi.

Beliau turut menggesa wanita Sarawak agar bersatu hati dan memperkasa diri melalui persatuan atau platform sosial sebagai medan mengukuhkan jaringan serta keyakinan diri.

“Kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati. Wanita mesti masuk dalam arus perdana pembangunan. Inilah perjuangan yang akan memastikan suara kita tidak diketepikan,” katanya.

Hasidah menutup ucapannya dengan penuh optimis bahawa wanita Sarawak mampu menjadi sebahagian daripada tonggak utama yang menyokong kejayaan PCDS 2030 dan menjadikan negeri ini benar-benar maju serta makmur menjelang 2030.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: DEKOMS umum barisan kepimpinan baharu, terus komited bantu usahawan kecil
Next: Tiga rumah panjang di DUN Kalaka nikmati kemudahan elektrik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.