
MIRI: Polis menafikan penularan video sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu hingga terkena tiang yang tular di media sosial baru-baru ini sebagai kejadian buli.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, rakaman berdurasi 13 saat itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, namun hasil siasatan mendapati ia hanyalah gurauan keterlaluan dalam kalangan pelajar sebuah institusi pengajian di sini.
“Semalam, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar sebuah institusi pengajian tersebut telah tampil membuat laporan polis dengan tujuan menafikan bahawa kejadian tersebut adalah satu insiden buli dan merupakan gurauan yang keterlaluan, serta mengesahkan ia berlaku di dalam kawasan institusi berkenaan.
“Pada 23 September (hari ini) seorang pelajar yang didakwa sebagai mangsa dalam video berkenaan juga hadir bersama ibu bapanya membuat laporan polis.
“Pelajar tersebut menafikan bahawa dirinya dibuli, sebaliknya menjelaskan kejadian itu hanyalah gurauan bersama rakan-rakan pelajar yang mengambil jurusan automotif sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September lalu, tanpa sebarang unsur paksaan atau penderaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Mohd Farhan berkata, pihak polis memandang serius dan tegas terhadap sebarang kes jenayah buli, kerana ia boleh mendatangkan kecederaan fizikal, trauma psikologi serta menggugat keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata pihak polis telah memanggil pegawai institusi, ibu bapa serta semua pelajar berumur 18 hingga 24 tahun yang terlibat dalam rakaman video itu untuk diambil keterangan.
“Hasil siasatan, kes ini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA). Namun, polis tidak akan berkompromi sekiranya ada bukti baharu menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Sekiranya terdapat maklumat lain yang relevan, orang awam diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Miri bagi tujuan pemantauan dan tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Katanya, PDRM, khususnya IPD Miri, menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan awam terpelihara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang melibatkan elemen jenayah, khususnya berkaitan kes buli.
Oleh Liong Chai Ling