Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Minggu Perpaduan 1964, ketika Indonesia lancar kempen Ganyang Malaysia
  • KOLUMNIS

Minggu Perpaduan 1964, ketika Indonesia lancar kempen Ganyang Malaysia

Utusan Sarawak 6 days ago

WALAUPUN Malaysia telah berjaya ditubuhkan pada pada 16 September 1963 tetapi ancaman keselamatan kepada Malaysia masih lagi belum selesai. 

Ini kerana Indonesia meneruskan kempen Ganyang Malaysia. Usaha ini mengancam sempadan-sempadan antara Sarawak dan Kalimantan.

Banyak kes pencerobohan telah berlaku ketika itu. Hal ini membimbangkan penduduk Sarawak yang tinggal di sempadan antara dua negara ini.

Malah pemimpin dari persekutuan dan negeri juga bimbang dengan keadaan itu. Ini kerana mereka tidak mahu moral dan kesetiaan rakyat Sarawak untuk menyokong Malaysia, luntur. 

Kempen ketenteraan yang dilakukan tidak memadai untuk melegakan rakyat Sarawak tentang keselamatan mereka.

Atas sebab itu usaha digerakkan untuk menyantuni penduduk Sarawak agar lebih bersatu dan bersemangat untuk mempertahankan Malaysia.

Atas inisiatif Kerajaan Persekutuan dengan sokongan kerajaan negeri, maka satu acara perpaduan atau setiakawan telah dilancarkan pada 1964. Usaha ini dilakukan setelah setahun lebih Malaysia dibentuk.

Ucapan

Dalam ucapan di radio oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 13 November 1964 menyatakan bahawa minggu setiakawan ini akan diadakan di seluruh negara. 

Minggu itu diadakan untuk menegaskan kesungguhan mempertahankan maruah negara, kemerdekaan dan kedaulatan daripada ancaman Indonesia.

Satu lagu khusus digubah untuk minggu tersebut yang dinamakan Berjaya. Lagu ini dinyanyikan di seluruh negara dan menjadi lagu tema untuk minggu tersebut. 

Dalam ucapannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa perayaan itu menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan mahu hidup, membina perpaduan antara rakyat sebagai penduduk kuat dan makmur di dunia. 

Beliau juga menekankan bahawa Malaysia mempunyai hasrat untuk menjalin persahabatan dengan negara-negara jirannya.

Namun demikian, Indonesia tetap meneruskan dasar agresif terhadap Malaysia.

Sehubungan itu, Majlis Solidariti Nasional ditubuhkan sebagai wadah bagi rakyat menyuarakan kesetiaan serta memupuk semangat patriotisme terhadap negara. 

Menerusi badan ini, maka dirangka satu program perpaduan selama seminggu. Ia dijalankan di seluruh negara untuk tujuan perpaduan dan melawan pihak musuh. 

Perancangan

Sarawak juga terlibat dalam menjalankan minggu tersebut. Sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perancangan Negeri telah diwujudkan. 

Jawatankuasa ini diketuai James Wong iaitu Timbalan Ketua Menteri. Anggota jawatankuasa ini terdiri daripada pihak parti politik, persatuan masyarakat, dewan peniagaan dan pertubuhan belia.

Empat jawatankuasa kecil telah ditubuh untuk mengendali minggu tersebut. Jawatankuasa kecil ini terdiri daripada dua jawatankuasa mengumpul dana diketuai Senator Andrew Jika Landau dan Teo Kui Seng.

Dua lagi jawatankuasa kecil ini ialah drama dan pertandingan dibawah Abang Othman Abang Moasili, dan publisiti dan pameran dibawah Md. Suut Tahir. Beberapa lagi jawatankuasa kecil ditubuhkan di peringkat bahagian dan daerah.

TIMBALAN Ketua Menteri ketika itu, James Wong.

Acara utama yang dijalankan pada minggu itu adalah satu perhimpunan raksaksa diadakan pada sebelah tengah hari. Dalam perhimpunan tersebut setiap pemimpin akan diberi peluang untuk memberi ucapan.  

Selain itu aktiviti menjual bon-bon kerajaan dan kutipan derma juga diadakan. Tujuan menjual bon-bon kerajaan dan kutipan derma ini adalah untuk tabung pertahanan negara.

Perubahan

Pada asalnya minggu tersebut dirancangkan pada 14 November 1964 tetapi diubah oleh Menteri Penerangan dan Penyiaran, Senu Abdul Rahman kepada 16 November 1964.

Perubahan ini dilakukan menurut beliau adalah kerana ada negeri-negeri yang meminta masa untuk mengadakan persiapan bagi acara dalam minggu tersebut.

Dalam hal ini Perdana Menteri Tuanku Abdul Rahman bersetuju dengan pemindaan tarikh tersebut. Beliau berpandangan bahawa penambahan masa untuk persediaan mengadakan acara dalam minggu itu membantu kelancaran program dalam minggu tersebut untuk seluruh negara.

Penyertaan

Sementara itu di Sarawak usaha untuk merapat perbezaan dalam minggu perpaduan tersebut antara parti politik menghadapi cabaran. 

Ini kerana Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menerusi setiausaha agungnya Stephen Yong memaklumkan bahawa parti itu tidak akan menyertai minggu tersebut.

Namun demikian SUPP tidak menghalang ahli-ahlinya menyertai minggu tersebut sebagai individu bukannya parti.  Dalam hal ini Stephen Yong menegaskan bahawa SUPP bukannya memulau program kerajaan tersebut. 

Beliau menambah bahawa SUPP menyokong matlamat minggu tersebut untuk menyatukan penduduk Sarawak tetapi bukan untuk tujuan menguatkan kedudukan sesuatu pihak.

Bagi pengerusi minggu perpaduan di Sarawak pula iaitu James Wong menyatakan agar semua rakyat menyertai minggu tersebut dengan penuh jayanya dari 16 September hingga 22 September 1964. 

Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa minggu perpaduan  itu mempunyai tujuan untuk menunjukkan kepada dunia dan Indonesia khasnya bahawa rakyat Malaysia bersatu hati dan bersepakat untuk melawan sebarang keganasan dan subversif dari mana jua datangnya.

Rakyat Malaysia, katanya, tindak tanduk kepada Indonesia yang cuba menganggu guggat Malaysia, sebenar tidak berjaya.

Malah matlamat ketenteraan yang dijalankan oleh mereka gagal tetapi James Wong menginggatkan bahawa penduduk Sarawak jangan terlalu leka dan terlalu yakin kerana ia akan membawa bahaya kemudian hari. 

Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat bagi James Wong adalah pertama perlu kuat untuk mempertahankan negara. Kedua pula untuk menunjukkan kekuatan ini kepada dunia dan musuh negara.

Singkat

James Wong turut mengakui bahawa maklumat mengenai penganjuran minggu tersebut diterima dalam masa agak singkat. Justeru, beliau menegaskan bahawa perkara utama yang perlu dilakukan ialah mengisi acara yang tersedia dengan semangat yang mendalam.

Mengenai perlu membeli bon dan menderma kepada tabung pertahanan negara, James Wong menyatakan bahawa usaha ini penting kerana Malaysia tidak harus bergantung semata-mata dengan pertolongan negara-negara komanwel atau rakan yang lain. 

Oleh itu perlu bagi rakyat Sarawalk untuk berdikari mempertahankan Malaysia.

Minggu perpaduan ini salah satu usaha kerajaan yang cuba mengatasi masalah keselamatan negara dengan meningkat semangat rakyat.

Perbincangan tentang minggu perpaduan ini akan dilanjutkan pada keluaran akan datang.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: AirBorneo perlu pesawat baharu untuk tembusi pasaran serantau
Next: Gerakan sosial serantau, global: ‘Teori Gerakan Sosial’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.