KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu berbangkit bagi memastikan kelangsungan sektor agrikomoditi di Sarawak seperti sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, sago dan kenaf.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata, antaranya, isu-isu pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pelaksanaan program Biodiesel B20: Sektor Pengangkutan, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan potensi penanaman lada.
“Sehingga 31 Julai 2020, seramai 17,785 Pekebun Kecil Persendirian (PKP) dengan keluasan tanah 99,354.46 hektar di dalam 34 Kelompok Minyak Sawit (SPOC) telah memperoleh pensijilan MSPO.
“Namun, pencapaian mandatori MSPO di Sarawak masih rendah apabila hanya 21,606 PKP dengan tanah seluas 129,783.34 hektar yang masih belum mendapat pensijilan MSPO,” ujar Willie dalam satu kenyataan media.
Beliau turut melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Beliau mengatakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati peratusan pensijilan MSPO dalam kalangan PKP masih rendah, antaranya kelompok Q8 (Pantu, Bukit Begunan, Lingga, Simanggang), Q22 (Marudi) dan Q30 (Sebauh).
“Bagi mengukuhkan lagi pensijilan MSPO, surat amaran mandatori MSPO akan mula diedarkan kepada pemegang lesen SH (pekebun kecil) yang masih belum mendaftar kerana pensijilan itu diwajibkan bermula 1 Januari 2021,” ujar beliau.
Beliau menambah bagi tujuan Semakan Semula Piawaian MSPO yang sedang dilaksanakan, penanaman di kawasan Zon Penampan Sungai (Riparian Zone) dan di kecerunan melebihi 25 darjah adalah bercanggah dengan konsep High Conservation Values (HCV) yang akan dimasukkan di dalam piawaian pensijilan MSPO.
“Sehubungan itu, bagi mengelak penarikan balik pensijilan MSPO dalam kalangan PKP Sarawak, mereka akan diberikan peringatan tentang peraturan ini,” katanya.
Beliau turut mengatakan Program Biodiesel B20: Sektor Pengangkutan (adunan 20 peratus biodiesel sawit dengan 80 peratus petroleum) akan mula dilaksanakan di Sarawak pada 1 September 2020.
“Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan berupaya mewujudkan pertambahan penggunaan CPO sebanyak 534,000 tan setahun kepada 1.06 juta tan setahun berbanding penggunaan sebanyak 534,000 tan Program Biodiesel B10 pada ketika ini.
“Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga akan menambah baik dan memperluaskan kaedah tuntutan IPG khususnya bagi pekebun kecil yang tinggal jauh di pedalaman yang berikutan kurang prasarana komunikasi di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata selain itu, KPPK menerusi Lembaga Lada Malaysia (LLM) akan turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk menceburi penanaman lada demi mengerakkan industri lada untuk lebih berdaya saing.
“Ini kerana keluasan kawasan penanaman lada pada tahun 2019 adalah 7,132 hektar dengan jumlah pengeluaran 33,164 tan diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil tempatan.
“Untuk itu, KPPK berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan melalui penghasilan sawit yang berkualiti seterusnya melonjakkan lagi penjualan hasil komoditi negara,” ujar Willie.
Oleh Alexandra Lorna