
KUCHING: Sarawak dan Wilayah Samarkand, Uzbekistan bersedia memperkukuh hubungan dalam sektor pelancongan, warisan dan pertukaran budaya menerusi pertemuan rasmi antara Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dengan Gabenor Wilayah Samarkand, Adiz M Boboev, baru-baru ini.
Pertemuan itu menekankan pengiktirafan Samarkand sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO serta peranannya sebagai pusat persilangan budaya di sepanjang Laluan Sutera.
Dalam sesi itu, Abdul Karim turut berkongsi kepelbagaian budaya dan khazanah warisan Sarawak, termasuk tradisi masyarakat pribumi serta kekuatan industri kreatif negeri.
Beliau menambah, pelancaran syarikat penerbangan Sarawak tidak lama lagi bakal membuka peluang baharu dalam meningkatkan hubungan udara yang sekali gus berpotensi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua destinasi.

“Warisan Samarkand sebagai bandar UNESCO selari dengan visi Sarawak untuk mengangkat tradisi hidup dan industri kreatif sebagai aset global.
“Wujudnya hubungan udara baharu, kita melihat potensi besar untuk pertukaran pelancongan serta mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua wilayah,” katanya.
Kedua-dua pihak yakin kerjasama lebih erat mampu merancakkan aliran pelancong, meningkatkan kefahaman budaya serta memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi. Ia juga diyakini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif bersama pada masa akan datang.