
LAWAS: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal fokus dalam usaha membangunkan Sarawak secara menyeluruh menerusi pendekatan strategik yang inklusif untuk semua rakyat, tanpa mengira latar belakang dan lokasi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, GPS telah meletakkan hala tuju yang jelas melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“YAB Premier kita sudah ada strategi untuk membawa kemajuan kepada Sarawak. Melalui PCDS 2030, kita mahu Sarawak menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi, yang inklusif dan mampan merangkumi semua kaum, agama dan budaya serta mengambil kira kepentingan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hasrat Madani anjuran Jabatan Komunikasi (JKom) Daerah Lawas yang diadakan di Tebingan Sungai Kampung Dato Kuala Lawas, petang semalam.
Awang Tengah menambah bahawa kerajaan GPS turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi baharu yang berteraskan inovasi dan teknologi, selain memperkasa sektor ekonomi konvensional.
“Kita mahu pastikan ekonomi Sarawak kekal kompetitif dengan menggalakkan penggunaan teknologi terkini dan memperluaskan peluang ekonomi untuk rakyat di semua peringkat,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik merupakan tunjang kepada kejayaan pembangunan negeri.
“Kita tidak mahu politik perbalahan menjadi modal. Sebaliknya, kita pastikan perpaduan rakyat Sarawak terus kukuh agar kita dapat bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan GPS,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan JKom Zon Sarawak, Shahrizan Putit, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara, Datu Ubaidillah Latip serta Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok
Oleh Adeng Edrus