
KANOWIT: Golongan tuai rumah digesa supaya memiliki visi, misi dan pelan strategik yang jelas bagi memastikan pembangunan komuniti rumah panjang dapat dilaksanakan secara terancang, sistematik dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, berkata peranan tuai rumah bukan sekadar ketua adat, malah turut merangkumi tanggungjawab sebagai pemimpin pembangunan komuniti.
“Dengan perancangan yang baik, rumah panjang akan lebih terurus dan berpeluang menarik perhatian kerajaan untuk membawa masuk pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Nala Ugap, Nanga Kabah Ulu, baru-baru ini.
Menurut Anyi, tuai rumah juga memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“Mereka adalah seperti ‘jabatan’ di peringkat akar umbi yang menjadi jambatan komunikasi dua hala menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat, dan membawa suara rakyat ke pihak berwajib,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Anyi turut menggesa agar golongan belia di DUN Ngemah melibatkan diri dalam aktiviti politik dan kemasyarakatan secara matang dan beretika.
“Kita mahu belia jadi pemimpin masa depan yang berwibawa. Fahami dasar kerajaan, sertai program komuniti, dan gunakan platform politik untuk membina bukan memecahbelah,” katanya lagi.
Pada majlis sama, Anyi turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1 2026 sebanyak RM8,000 kepada Rumah Nala Ugap, dan keutamaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang itu dalam senarai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Oleh Tarani Lanting