
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus mengharumkan nama bandar raya ini apabila memenangi Anugerah Pembangunan Mampan JCI Malaysia 2025 di bawah SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab menerusi projek inovatif Bank Sampah.
Daripada 30 finalis seluruh negara, MBKS menampilkan dua projek iaitu Bank Sampah dan Pasar Tani Organik Kuching. Namun, Bank Sampah dipilih sebagai pemenang kerana pendekatan kreatifnya dalam mengurangkan sisa dan menggalakkan kitar semula melalui sistem ganjaran yang menukar bahan kitar semula isi rumah kepada sumber bernilai serta memupuk budaya bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata kemenangan itu membuktikan komitmen padu seluruh warga MBKS.

“Kejayaan ini mencerminkan semangat dan dedikasi keluarga besar MBKS dalam membina Kuching Selatan yang lebih bersih, hijau dan mampan,” katanya.
Beliau menegaskan MBKS akan terus melaksanakan projek komuniti yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) demi meningkatkan kualiti hidup penduduk.
“Kami percaya usaha kecil yang berterusan mampu memberi impak besar kepada masyarakat dan alam sekitar,” tambahnya.