
SIBU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Sibu muncul juara Pertandingan Pickleball Amatur Wanita anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Bahagian Sibu 2025 yang berlangsung di MyCentre, semalam.
Naib johan disandang Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, manakala tempat ketiga bersama dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Elizabeth dan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali.
Pertandingan yang menghimpunkan 18 pasukan termasuk MAKSAK Wanita Sarawak itu melabuhkan tirainya dengan majlis penutupan yang disempurnakan Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Beliau berkata penganjuran pertandingan seumpama itu bukan sahaja mengasah bakat dan meningkatkan prestasi dalam sukan pickleball, malah memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat setiakawan dalam kalangan peserta.
“Lebih penting lagi, ia menjadi medium untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta menjadikan aktiviti sukan sebagai budaya kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan yang berjaya, sambil menekankan bahawa nilai sebenar pertandingan bukan hanya pada kemenangan, tetapi juga pada semangat kesukanan, disiplin dan pengalaman yang diraih.
Oleh Tarani Lanting