
KUCHING: Penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian di Sarawak dan Malaysia, justeru masyarakat perlu meningkatkan kesedaran terhadap langkah pencegahan serta penjagaan awal kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana jumlah pesakit jantung semakin meningkat, malah statistik menunjukkan hampir setiap isi rumah berdepan dengan faktor risiko.
“Dulu jika seseorang mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau kandungan gula berlebihan dalam darah, mereka dianggap tidak normal.
“Tetapi hari ini, menjelang umur 60 tahun, adalah sesuatu yang pelik jika seseorang tidak mengalami salah satu daripadanya. Malah, isu berat badan berlebihan juga semakin ketara dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Jantung Sedunia 2025 di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Dr Sim menjelaskan bahawa Pusat Jantung Sarawak yang mula beroperasi pada 2001 telah merawat lebih 200,000 pesakit sepanjang lebih dua dekad penubuhannya.
“Tanpa pusat jantung ini, ramai pesakit tidak akan dapat diselamatkan kerana sebelum itu, tiada kemudahan rawatan jantung khusus di Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan sambutan Hari Jantung Sedunia yang diraikan di seluruh dunia, termasuk di Sarawak, dengan tema tahun ini iaitu ‘Don’t Miss a Beat’.
“Walaupun kita berada di Borneo, kita masih menyahut gesaan global untuk meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan jantung. Usaha ini sebahagian daripada pembinaan bangsa kerana hanya masyarakat sihat mampu memacu pembangunan negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Sim berkongsi pencapaian membanggakan apabila Pusat Jantung Sarawak tersenarai antara 100 pusat jantung terbaik di Asia Pasifik oleh majalah Newsweek.
Selain itu, Yayasan Jantung Sarawak juga terus memainkan peranan penting dengan mengumpul dana untuk meningkatkan kemudahan rawatan, termasuk membiayai peralatan angiogram di Hospital Bintulu bernilai RM2.5 juta dan bakal menyediakan mesin MRI jantung pertama di Hospital Sibu awal tahun depan.
“Inilah bukti bahawa semangat kebersamaan antara penderma, penaja dan masyarakat telah membawa perubahan besar kepada penjagaan kesihatan jantung di Sarawak,” tambahnya.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng; ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak, Dato Anne Teng dan Pauline Kon Suk Khim; isteri Dr Sim, Dato Enn Ong Siok Ean serta jemputan kehormat lain.
Oleh Adele Rissa