
KUCHING: Acara larian antarabangsa Maraton Kuching 2025 (KM2025) sekali lagi mencatat sejarah apabila menarik penyertaan seramai 14,150 pelari dari 37 negara yang berhimpun di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman berkata, Maraton Kuching kini berkembang menjadi salah satu acara sukan tahunan paling dinanti-nantikan bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh Malaysia dan rantau ini.
“Maraton ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi satu perjalanan yang memperlihatkan keindahan Bandaraya Kuching dengan warisan, budaya, alam semula jadi dan yang paling utama, keramahan masyarakat kita.
“Kita juga berbangga kerana Kuching telah diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO dan saya menggalakkan semua peserta untuk merasai sendiri keunikan kulinari Sarawak selepas tamat larian,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah KM2025 di Padang Merdeka, hari ini.

Beliau menambah, edisi kali ini turut disertai pelari dari Semenanjung Malaysia, Indonesia, Singapura, Kenya serta sejauh Denmark, Perancis, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pelari Kenya sekali lagi terus membuktikan keunggulan apabila David Rono muncul juara Full Marathon Lelaki dengan catatan masa 2 jam 26 minit 21 saat, manakala Abigael Jerop menjuarai Full Marathon Wanita dengan masa 3 jam 15 minit 19 saat.
Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM125,000 ditawarkan bagi empat kategori iaitu Full Marathon (42km), Half Marathon (21km), 10km dan 5km.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dato Hilmy yang mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, penganjur, penaja, sukarelawan serta agensi yang terlibat dalam menjayakan edisi ke-10 maraton berprestij itu.
Pengiktirafan daripada Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh (AIMS), Maraton Kuching dianggap antara kejohanan larian jarak jauh berprestij di rantau ini.
“Kita juga menjangkakan sekali lagi prestasi cemerlang daripada rakan-rakan pelari dari Kenya yang saban tahun tidak pernah gagal menyerlah di Maraton Kuching,” jelasnya.
Sebagai Datuk Bandar, Hilmy menegaskan DBKU bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta agensi berkaitan akan terus memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran maraton antarabangsa itu.
“Harapan kita agar ia berkembang lebih besar dan lebih baik pada tahun-tahun akan datang, dan saya percaya dengan semangat kebersamaan, Maraton Kuching akan terus menjadi kebanggaan kita semua,” ujarnya.
Oleh Shikin Mahmud