Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Populasi buaya meningkat, Sarawak kaji model pengurusan Australia – Premier Sarawak
  • SEMASA

Populasi buaya meningkat, Sarawak kaji model pengurusan Australia – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 1 week ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menziarahi kediaman keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Lubok Punggor hari ini. Foto UKAS

GEDONG: Kerajaan Sarawak sedang meneliti kaedah terbaik bagi menguruskan populasi buaya yang semakin meningkat di negeri ini, termasuk kemungkinan mewujudkan kawasan perlindungan khas di bawah kawalan pakar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri telah menghantar pasukan ke Australia untuk mengkaji kaedah pengurusan serta penangkapan buaya yang diamalkan di negara tersebut.

“Saya telah menghantarkan pasukan kita ke Australia untuk mengkaji bagaimana mereka menguruskan buaya dan menangkap buaya.

“Di Australia, walaupun tidak banyak buaya, mereka ada tempat perlindungan khas di mana buaya dikumpul dan diuruskan oleh pakar-pakar buaya.

“Kajian menunjukkan ada buaya yang agresif dan ada yang tidak. Malah, ada kawasan ternakan kerbau di Darwin yang wujud bersama buaya tanpa gangguan. Ini menunjukkan reptilia tersebut mempunyai naluri tersendiri, kita perlu memahami perkara ini melalui kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sekepas menziarahi kediaman keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Lubok Punggor hari ini.

Beliau berkata fenomena peningkatan populasi buaya di Sarawak berpunca daripada perubahan cara hidup masyarakat yang kini kurang menggunakan sungai sebagai laluan utama berbanding sebelum ini.

“Dulu sungai selalu digunakan, ada pergerakan air. Sekarang dengan adanya jalan raya, sungai tenang dan buaya membiak dengan cepat kerana telur yang ditetaskan banyak dalam keadaan habitat tidak terganggu,” jelasnya.

Premier Sarawak turut menegaskan bahawa operasi penangkapan buaya secara berkala telah dilaksanakan kerajaan, namun terdapat cabaran di beberapa kawasan disebabkan faktor adat dan kepercayaan masyarakat setempat.

Beliau menambah, kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sedang meneliti hasil kajian berkenaan sebelum memutuskan langkah seterusnya termasuk penubuhan tempat perlindungan yang sesuai bagi mengawal populasi buaya.

KETIBAAN PremierSarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menziarahi kediaman keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Lubok Punggor hari ini. Foto UKAS

Dalam lawatan tersebut, Premier Sarawak menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap keluarga mangsa dan mendengar sendiri pengalaman ahli keluarga yang cuba menyelamatkan mangsa ketika kejadian.

Turut hadir semasa lawatan ziarah itu ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan merangkap Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Abang Arabi Abang Aimran.

Untuk rekod, mangsa serangan buaya, Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, dikatakan keluar menjala udang bersama ahli keluarga pada pagi 15 September lalu sebelum dipercayai dibaham buaya sekitar 4.00 petang, kira-kira 200 meter dari Kampung Lubok Punggor.

Mangsa merupakan anak keempat daripada lima beradik kepada pasangan Sudin dan Munah Lasit.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) masih diteruskan sehingga kini.

-UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak perkukuh industri kraf melalui Festival Kraf Antarabangsa ke-3 di Uzbekistan
Next: Muat turun aplikasi Nusuk capai 30 juta dengan peningkatan tahunan 150 peratus

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.