
MIRI: Program Bantuan Lesen Memandu Motosikal MyLesen Kelas B2 terus mendapat sambutan hangat apabila seramai 1,337 peserta di bandar raya ini menyertainya hari ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, inisiatif itu membolehkan orang ramai mendapatkan lesen motosikal B2 pada kadar sekitar RM250 berbanding harga pasaran kira-kira RM750.
Katanya, langkah itu bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memberi peluang lebih luas khususnya kepada golongan muda untuk meningkatkan mobiliti termasuk bagi tujuan pekerjaan penghantaran dan urusan harian ke tempat kerja atau belajar.
“Program ini hanya berjaya kerana penglibatan masyarakat. Saya difahamkan ada peserta yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggu malah mengambil cuti kerja untuk hadir ke kursus dan ujian hari ini.
“Inilah usaha awal yang akan menentukan kejayaan anda memperoleh lesen sah,” katanya semasa berucap pada program tersebut.
Choon Man menegaskan, dengan adanya lesen memandu yang sah, penunggang motosikal lebih terlindung kerana layak mendapat perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua peserta agar tidak memandang ringan aspek keselamatan jalan raya dan sentiasa mematuhi peraturan.
“Belajarlah undang-undang bukan semata-mata untuk lulus ujian.
“Setiap peraturan diwujudkan demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. Tanpa undang-undang, kenderaan boleh berubah menjadi ‘mesin pembunuh’ yang mengancam nyawa,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling