
KUCHING: Bengkel Revolusi Industri Muzik anjuran Majlis Seni Sarawak (MSS) dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri memperkukuh bakat tempatan demi pembangunan ekonomi kreatif dan pengukuhan imej Sarawak di pentas global.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Awang Ikman Awang Sepian, industri muzik global kini bernilai lebih AS$170 bilion setahun, manakala di Malaysia sektor itu menyumbang sekitar RM6 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Angka tersebut membuktikan muzik bukan sekadar hiburan, sebaliknya berpotensi besar menjana ekonomi jika bakat tempatan diperkasa dan digilap ke tahap profesional.

“Objektif bengkel ini adalah memperkukuhkan, memperkasakan dan meningkatkan kemahiran pemuzik, penyanyi, komposer, pengurus artis dan penggiat seni kreatif di Sarawak agar mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Pada masa sama, ia mempersiapkan bakat tempatan yang akan digunakan dalam acara rasmi kerajaan negeri,” katanya dalam ucapan yang disampaikan menerusi tayangan video semasa majlis perasmian Bengkel Revolusi Industri Muzik, di sini, hari ini.
Tambah beliau, program itu juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi penghasilan karya muzik, pemasaran, pengurusan artis, hak cipta serta peluang penjanaan pendapatan melalui teknologi moden termasuk penstriman, media sosial, kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR).

Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan Seni Hiburan, Majlis Seni Sarawak (MSS) Raymond Siau Aik Song, menegaskan bahawa muzik dan kesenian berperanan sebagai penyatu masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Kita mahu artis Sarawak berani keluar daripada zon selesa, tidak terikat pada satu genre sahaja, sebaliknya menyesuaikan diri dengan dunia digital agar dapat bersaing dengan pemain industri luar.
“Muzik menyatukan kita, dan daripada pentas inilah kita melangkah ke dunia digital.
“Ini merupakan kali pertama MSS menganjurkan bengkel seperti ini dan sambutannya sangat menggalakkan, malah berbeza dengan di luar Sarawak yang mengenakan yuran sekitar RM200 setiap sesi, namun program ini ditawarkan secara percuma,” jelasnya.
Bengkel berkenaan menarik penyertaan hampir 170 peserta, melebihi sasaran asal 150 orang, dengan pengisian melibatkan kelas vokal, instrumen dan sesi master bersama fasilitator terkenal tanah air seperti Ajai (ketua fasilitator), penyanyi kelahiran Sarawak Bob Yusof, termasuk Ujang Exist, Oja dan Fly Halizor.
Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan industri muzik sebagai salah satu pemacu pembangunan ekonomi kreatif Sarawak, di samping mengangkat bakat tempatan sebagai duta budaya dan imej negeri di peringkat antarabangsa.
Oleh Masrin Affirah