Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 50,000 haiwan disasar terima vaksin tahunan, usaha bebas rabies 2030
  • Tengah
  • WILAYAH

50,000 haiwan disasar terima vaksin tahunan, usaha bebas rabies 2030

Utusan Sarawak 6 days ago
TANAM KESEDARAN BAHAYA RABIES….Tiang merakam kenangan bersama pihak yang menjayakan Program Vaksinasi Anti Rabies Secara Besar-besaran 2025 di kawasan terbuka hadapan Eco Delite Cafe, Jalan Ulu Sungai Merah, hari ini.

SIBU: Sarawak menyasarkan pemberian vaksin rabies percuma kepada sekurang-kurangnya 50,000 haiwan peliharaan setiap tahun sebagai langkah pencegahan wabak itu, sekali gus mencapai matlamat bebas rabies menjelang 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, vaksinasi rabies terhadap anjing dan kucing bukan sahaja menjadi kewajipan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, malah kegagalan pemilik mematuhinya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Namun, yang lebih penting ialah kesedaran dan tanggungjawab pemilik untuk memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin setiap tahun. Inisiatif ini bukan sahaja percuma, malah mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

VAKSINASI… Pemilik anjuran menghantar haiwan peliharaannya mendapatkan suntikan anti vaksin rabies.

Beliau berkata demikian pada Program Vaksinasi Anti Rabies Secara Besar-besaran 2025 di kawasan terbuka hadapan Eco Delite Cafe, Jalan Ulu Sungai Merah, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu, program berkenaan dilaksanakan secara percuma dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan, ketua masyarakat dan persatuan penduduk sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak membasmi rabies.

Beliau mendedahkan, sejak 2017 hingga 2024, Sarawak merekodkan lebih 63,000 kes gigitan anjing serta 52,000 kes gigitan dan cakaran kucing.

“Tahun ini, kita turut mencatatkan kes kematian pertama akibat cakaran kucing yang membawa jangkitan rabies. Nyawa tetap nyawa, walaupun jumlah kematian tidak besar, kita tidak mahu kehilangan walau satu pun hanya kerana gigitan atau cakaran haiwan peliharaan. 

“Pencegahan sangat mudah, iaitu dengan membawa haiwan ke program vaksinasi percuma seperti ini,” tegasnya.

Tiang turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pemilik yang membiarkan lebih 20 hingga 30 ekor anjing dipelihara dalam satu rumah tanpa kawalan, selain gagal membawa haiwan mereka untuk divaksin.

“Perkara sebegini amat membimbangkan dan saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambahnya, kesedaran masyarakat untuk bersama-sama mencegah rabies merupakan kunci utama dalam mencapai matlamat global dunia bebas rabies menjelang 2030, selaras dengan usaha kerajaan Sarawak membasmi wabak itu sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kucing juga tidak boleh dipandang ringan kerana jumlahnya lebih banyak berkeliaran berbanding anjing. Rabies bukan sahaja penyakit haiwan, tetapi turut mengancam nyawa manusia,” katanya lagi.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Sarawak laksana pembangunan holistik, tekankan aspek insan dan digital
Next: RM41,500 geran MRP diberi kepada 10 penerima di DUN Meradong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.