
MIRI: Transformasi pembangunan Sarawak bukan hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal semata-mata, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan digital demi melahirkan generasi berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri komited menyediakan peluang pendidikan dan latihan lebih luas agar anak muda Sarawak mampu bersaing di pentas nasional serta global.
“Komitmen ini antaranya dizahirkan menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma bermula 2026 yang melibatkan empat institusi milik kerajaan negeri iaitu Swinburne Sarawak, Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti i-CATS.
“Skim ini merangkumi 64 program yang diluluskan dalam bidang kritikal termasuk STEM, perubatan, undang-undang, perakaunan dan kewangan.
“Dasar ini merangkumi kepercayaan asas kami terhadap peluang yang sama, untuk menjamin bahawa setiap rakyat Sarawak yang berbakat, tanpa mengira latar belakang atau status ekonomi, boleh mengakses pendidikan tinggi yang berkualiti dan menyumbang secara bermakna kepada kemakmuran negeri kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin sempena majlis Anugerah ‘Junior Chamber International (JCI) Ten Outstanding Young Malaysians’ (TOYM) 2025 yang diadakan di sini malam tadi.
Menurut Abang Johari, usaha memperkukuh pendidikan anak negeri turut digerakkan melalui Program Pemerkasaan Pendidikan Sarawak (SEEP) yang dilancarkan April lalu, memberi tumpuan kepada pelajar Tingkatan 3 hingga 5 terutama dari keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut memperluas agenda ekonomi digital melalui penubuhan Akademi Digital Centexs dan Kampung Digital bagi menyediakan latihan serta ekosistem sokongan kepada belia dan syarikat pemula.
“Kita juga melaksanakan Program Inklusiviti Digital supaya masyarakat luar bandar tidak ketinggalan, menerusi bilik darjah pintar, platform e-pembelajaran dan peluasan infrastruktur jalur lebar,” jelasnya.
Oleh Liong Chai Ling