Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Chapel Sacred Heart Bawan kekal mercu tanda keimanan dan warisan Katolik Iban
  • Tengah
  • WILAYAH

Chapel Sacred Heart Bawan kekal mercu tanda keimanan dan warisan Katolik Iban

Utusan Sarawak 6 days ago
LAWATAN BERSEJARAH… Rombongan dari Sabah merupakan kumpulan terbaharu melawat ke chapel tersebut pada 15 September lalu. Foto SocCom Chapel Sacred Heart, Bawan.

KANOWIT: Chapel Sacred Heart di Bawan, Kanowit, yang berusia 127 tahun, terus menjadi mercu tanda keimanan dan warisan masyarakat Katolik Iban di Sarawak dengan menerima kehadiran berterusan kumpulan ziarah dari dalam dan luar negeri.

Chapel yang dibina oleh Mill Hill Missionaries pada 1898 itu kekal dengan reka bentuk asalnya dan masih menjadi pusat kegiatan keagamaan serta pengukuhan komuniti Katolik di kawasan berkenaan.

KENANGAN…Anggota kegamaan Katolik yang turut melawat chapel tersebut. Foto SocCom Chapel Sacred Heart, Bawan.

Menurut penggerak komunikasi media sosial (SocCom) Chapel Sacred Heart yang juga ahli pasukan media St. Francis Xavier, Kanowit, Mathew Madau, sehingga Oktober ini sebanyak 32 kumpulan ziarah telah dijadualkan mengunjungi chapel berkenaan.

“Rombongan terbaharu melibatkan 35 peserta dari Sabah yang hadir pada 15 September lalu. Walaupun usianya lebih seabad, Chapel Sacred Heart masih teguh berdiri dengan keunikan reka bentuk asal yang menjadi simbol perjalanan iman masyarakat Katolik Iban,” katanya hari ini.

Sebagai antara gereja Katolik tertua di Sarawak, chapel itu telah menjadi pusat penyebaran agama Katolik oleh Mill Hill Missionaries sejak akhir abad ke-19 dan terus berfungsi sebagai tempat ibadah serta penghubung generasi.

UNIK… Gambaran chapel tersebut yang masih mengekalkan keunikan rekaan binaannya sehingga kini. Foto SocCom Chapel Sacred Heart, Bawan.

Sempena Tahun Jubli 2025, pelbagai program keagamaan dan kebudayaan telah dianjurkan termasuk Gawai Misa, Walk of Hope dan persembahan kebudayaan yang menghimpunkan umat Katolik dari pelbagai latar belakang.

“Inisiatif seperti ini bukan sekadar sambutan, tetapi juga satu bentuk penghargaan terhadap sejarah dan iman yang diwarisi turun-temurun,” kata Mathew.

Selain bernilai dari segi keagamaan, kewujudan Chapel Sacred Heart turut dianggap sebagai khazanah warisan budaya dan sejarah negeri yang perlu dipelihara.

Dengan jumlah pengunjung yang terus meningkat, chapel itu digelar ‘Permata Dalam Rimba’ kerana peranannya sebagai lambang iman dan warisan yang kekal utuh.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Jalan Siung Hwrong siap dinaik taraf, manfaat penduduk luar bandar
Next: Sarawak laksana pembangunan holistik, tekankan aspek insan dan digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.