

PERNAH dipersoal akan kredibiliti untuk kembali beraksi tiga bulan lepas, kumpulan rap legenda 4U2C membuktikan sebaliknya apabila bangkit di pentas ‘WE 4U2C Live In Concert’ dengan persembahan penuh bertenaga, menghidupkan semula nostalgia malam ‘flava’ rap 90-an. Dengan hampir 4,000 peminat memenuhi Ideal Live Arena, Damansara, pada Isnin lepas, bukan sahaja membuktikan segala kritikan sebelum ini kepada kumpulan yang sinonim dengan tanda pengenalan cakera padat tergantung di leher ini hanyalah omongon kosong kerana hakikatnya, aura mereka masih lagi berbisa. Menggegarkan gelanggang malam itu dengan kegemilangan hip-hop tempatan yang menjadi nadi perjuangan mereka selepas hampir tiga dekad tidak beraksi, Bringin’ Back Da 90’s Flava yang dihidupkan Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie nyata bukanlah syok sendiri. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pernah dipersoal akan kredibiliti untuk kembali beraksi tiga bulan lepas, kumpulan rap legenda 4U2C membuktikan sebaliknya apabila bangkit di pentas ‘WE 4U2C Live In Concert’ dengan persembahan penuh bertenaga, menghidupkan semula nostalgia malam ‘flava’ rap 90-an.
Dengan hampir 4,000 peminat memenuhi Ideal Live Arena, Damansara, pada Isnin lepas, bukan sahaja membuktikan segala kritikan sebelum ini kepada kumpulan yang sinonim dengan tanda pengenalan cakera padat tergantung di leher ini hanyalah omongon kosong kerana hakikatnya, aura mereka masih lagi berbisa.
Menggegarkan gelanggang malam itu dengan kegemilangan hip-hop tempatan yang menjadi nadi perjuangan mereka selepas hampir tiga dekad tidak beraksi, Bringin’ Back Da 90’s Flava yang dihidupkan Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie nyata bukanlah ‘syok sendiri’.
Sebaliknya, vokal padu, gerak tari bertenaga serta karisma tersendiri setiap anggota ini menyerlahkan lagi akan kemampuan kumpulan rap legenda ini yang sememangnya masih lagi memiliki magis tersendiri untuk terus memikat peminat merentas pelbagai generasi.


Membuka tirai kehangatan pentas malam itu menerusi lagu Sini Go Sana No, Dynamite dan Hip Hop Tip Top, 4U2C tampaknya berjaya membangkitkan sorakan gamat peminatnya yang telah sekian lama merindui akan aksi penuh pesona kehebatan ligat tari mereka.
Tidak menyangka akan sambutan diterima, AC atau nama sebenarnya, Mizal Zaini meluahkan rasa terharunya dengan sokongan diterima mereka malam itu tatkala persembahan memasuki segmen kedua sambil berseloroh penonton tidak “backup” 4U2C ketika dihentam netizen di media sosial.
“For all 4U2C fan, terima kasih kerana sudi hadir walaupun kalian tidak membantu ‘backup’ daripada komen-komen (haters). Sepatutnya serangan bukan kepada kami sebaliknya kepada Datuk Norman Abd Halim (KRU) kerana dialah punca kami buat konsert ini,” katanya secara bersahaja.
Gamat suasana dengan usikan spontan suami kepada Emylia Rosnaida yang sememangnya terkenal dengan kehebatan menceriakan pentas selain sorakan dan peminat yang turut menyanyi bersama-sama, malam itu menjadi saksi akan kegemilangan genre rap-90 kembali menyerlah, menggetarkan nostalgia tersendiri.

Bagaikan tidak puas rasanya, 4U2C meleraikan kerinduan peminat mereka dengan mendendangkan sebanyak 18 lagu termasuk hit popular kumpulan rap ini, Fiona, Suara Asia, 2BD#1, Video Game dan I Miss You sepanjang lebih dua jam persembahan yang turut diperkukuhkan dengan sistem audio, pencahayaan serta paparan skrin LED berskala mega.
Malam 90-an dihangatkan lagi dengan nostalgia apabila gelanggang pentas turut diserikan dengan kemunculan kumpulan popular era tersebut, Ms Teen, A To Z dan Res2 yang masing-masing membawakan lagu malar segar mereka, Kembalilah Kasih, Itik Gembo Gembo, Darjat serta Kepastian.
Tatkala keasyikan peminat larut dibuai dengan memori dekad 90-an, pengacara popular itu mencuri perhatian apabila mengumumkan 4U2C turut menerima undangan menjayakan konsert di Singapura, sekali gus turut mengejutkan anggota kumpulan itu sendiri.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan kerana setiap anggota mempunyai komitmen masing-masing, justeru mereka perlu berbincang terlebih dahulu.
Malam penuh nostalgia itu akhirnya melabuhkan tirai dengan lagu ikonik mereka, Kami Rappers, disambut sorakan serta tepukan gemuruh, tanda 4U2C bukan sahaja masih berbisa bahkan juga kumpulan rap ini tidak pernah kehilangan aura di hati peminat.- Bernama