
KUALA LUMPUR: Agak jarang dan sukar untuk melihat kemunculan penyanyi dan pelakon terkenal Amy Mastura di pentas seni sejak kebelakangan ini, yang sebelumnya pernah mewarnai industri hiburan tanah air era 90-an dan menjadi antara wajah kesayangan ramai.
Tidak pernah menyepi atau berpaling daripada dunia yang diceburinya lebih tiga dekad, Amy atau nama penuhnya, Amy Mastura Suhaimi, 54, hakikatnya masih setia dengan landskap seni, namun karyanya tidak lagi sebanyak dahulu kerana memberi keutamaan kepada keluarga selain selektif dengan tawaran seni.
Beraksi dalam pementasan Teater Cik Ros, pementasan penghormatan kepada tokoh seni persembahan terkenal Allahyarham Dr Rosminah Mohd Tahir yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, pastinya buah tangan terbaharunya itu dapat mengubati kerinduan peminat.
Dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), teater arahan adik Allahyarham Rosminah, iaitu Hamzah Tahir, selain menampilkan isteri kepada Alvin Tham Suffian ini, ia turut dibintangi Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Ziela Jalil, Juhara Ayob dan Liza Abdullah.

Menemuinya baru-baru ini, artis yang terkenal dengan raut wajah awet muda dan sentiasa ceria ini berkata biarpun dirinya tidak menutup pintu untuk terus berkarya, keputusan menerima tawaran kini banyak dipengaruhi oleh faktor masa dan keadaan semasa kehidupannya.
“Sekarang saya lebih memilih tawaran (berlakon), kalau ada watak atau projek yang bersesuaian, saya akan pertimbangkan. Tetapi jika tidak, saya selesa memberi tumpuan kepada kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa dan ini pilihan saya sekarang, tapi tidak berani nak putuskan langkah (berhenti dalam bidang seni).
“Saya fikir kalau kerja kerajaan dengan usia sekarang, saya sudah pencen. Jadi, eloklah alihkan perhatian untuk mencari bekalan akhirat,” kata Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-14 ini kepada Bernama.
ditanya mengenai kerjaya nyanyiannya pula, penyanyi wanita popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian1994 itu berkata minatnya dalam dunia muzik kini semakin perlahan dan tidak bercadang untuk merakamkan lagu baharu.
Bagaimanapun, anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini sebaliknya berbangga apabila melihat rakan seangkatannya yang masih lagi aktif berkarya dan sentiasa menyokong serta mendoakan kejayaan akan karier seni mereka dalam industri muzik tanah air.
“Saya tiada perancangan untuk keluarkan single (lagu). Kalau lagu saya peminat dengar di Spotify sudahlah (cukup), saya bukan merajuk dengan industri nyanyian. (Cuma) Saya fikir dengan usia sekarang, elok perlahankan, bukan bermakna mahu bersara, saya ada di celah-celah,” katanya.
Ditanya mengenai kesediaan menyertai rancangan realiti Gegar Vaganza (GV), pelantun lagu Jawapan Kasih itu berkata tidak menyukai untuk menyertai mana-mana pertandingan kerana akan menyebabkan dirinya ‘jiwa kacau”.
“Setiap tahun mereka tawarkan (untuk sertai GV), tetapi saya memang tidak ambil sebab tak sukakan pertandingan. Cukuplah sekali ketika sertai Asia Bagus (1993), itupun saya rasa menyesal seumur hidup.
“Sebab masuk pertandingan ini, dia punya kekacauan jiwa itu lain macam (stres), saya tidak suka. Kalau diikutkan, saya tidak sehebat (artis lain) yang sertai pertandingan itu… buat apa saya masuk bertanding kerana sudah tahu kemampuan sendiri hanya macam itu,” katanya.- Bernama